• newsatmy

SME Bank: Sembilan usahawan berentap dalam SUKSES 4.0

17 Mac 2021

KUALA LUMPUR: Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Bhd (SME Bank) bakal mengetengahkan sembilan usahawan dalam sebuah program realiti televisyen, SUKSES 4.0, yang dijadualkan bersiaran pada Jun hingga Ogos ini.


Program realiti 13 episod yang disiarkan menerusi saluran 501, Astro AWANI itu akan mengetengahkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) meliputi pelbagai industri termasuk sektor perkhidmatan, pengangkutan, pembuatan dan peruncitan.


Sembilan peserta tersebut terdiri daripada perniagaan pemula (start-up) atau yang mempunyai idea-idea perniagaan tertentu.


Ketua Jabatan Komunikasi Strategik Kumpulan, SME Bank, Abdul Latiff Puteh berkata SUKSES 4.0 akan memperlihatkan PKS bersaing dalam menguruskan perniagaan berdasarkan situasi sebenar, di samping menekankan aspek pendigitalan dan sosial media.


“Kita hendak beralih kepada sesuatu yang lebih menarik dan memberi peluang kepada masyarakat di luar sana, lebih-lebih lagi usahawan muda untuk mempelajari trend masa kini serta realiti pengurusan perniagaan yang disebabkan oleh pandemik COVID-19.


“Cara kita berniaga telah berubah, tiga musim sebelum ini, kami mengetengahkan usahawan yang telah berjaya, kali ini kami melihat bagaimana mereka bermula daripada bawah,” katanya menerusi temu bual dalam program Agenda AWANI pada Ahad.


Mengulas lanjut, beliau menambah, SME Bank akan bekerjasama dengan syarikat-syarikat yang telah berjaya untuk menjadi mentor bagi membimbing usahawan mendepani suasana perniagaan kini dengan menawarkan hadiah lumayan.


“Secara keseluruhan, kita menawarkan hadiah melebihi RM100,000 dan terdapat juga hadiah kepada penonton di rumah sebanyak RM10,000 melalui kuiz mingguan.


“PKS yang berminat boleh menghantar borang penyertaan dan perlu memuat naik video berdurasi dua minit untuk meyakinkan pihak kami bagi menyertai pertandingan ini,” katanya.


Dalam pada itu, usahawan atau PKS yang ingin memohon mengikuti program SUKSES 4.0 tersebut boleh melayari www.ysos.com.my atau facebook sukses4.0smebank.


Sementara itu, Ketua Pengurusan Stakeholder, SME Bank, Hamdan Mohd Habibollah berkata, susulan pengumuman Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) berkenaan fasa kedua pelan pemulihan usahawan dan koperasi, SME Bank sentiasa menyokong inisiatif dalam memperkasa PKS era pandemik.


“Pertama, inisiatif pembiayaan memastikan PKS dan pelanggan-pelanggan sedia ada dan pelanggan baharu untuk mereka terus beroperasi mengekalkan perniagaan mereka dan kedua menawarkan inisiatif berupa Relief Programme yang memberikan ruang atau tempoh untuk mereka tidak membuat bayaran dan memberikan tempoh pemanjangan.


“Inisatif ketiga pula adalah mengukuhkan pembinaan kapasiti pelanggan-pelanggan melalui subsidiari SME Bank menerusi Center for Entrepereneur Development and Research (CEDAR),” jelasnya.


Hamdan menambah, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac tahun lalu, pelbagai cabaran dihadapi PKS dan menuntut pihaknya bertindak proaktif membantu usahawan terkesan.


“Saya melihat kepada dua aspek, iaitu penyampaian dan inovasi usahawan. Sebelum ini kami mengambil masa 30 hingga 45 hari tempoh untuk kelulusan pengeluaran wang tetapi kini dapat disingkatkan.


“Selain itu, sejajar penubuhan dan mandat SME Bank, selain mengurus pembiayaan, membimbing PKS di luar sana, kita juga ingin melihat PKS menyumbang kepada ekonomi negara, tenaga kerja, eksport negara dan pendapatan,” katanya lagi.