Arissa Azman
Solihan Jawab Isu Berkaitan Vaksin
15 Jun 2021
Selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan Dan Infrastruktur Negeri Johor, merangkap Ketua Penerangan Bersatu Negeri Johor, YB Tuan Haji Muhd Solihan Bin Badri menerangkan beberapa isu tentang vaksin dan mengingatkan rakyat Malaysia mengenai bahayanya covid-19.
Pelancaran Vaksin telah dibuat oleh YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin pada 24 Februari 2021 dan beliau adalah orang pertama yang menerima suntikan vaksin.
Apa itu vaksin?
Yang paling mudah untuk kita memahami, vaksin ialah virus covid-19 yang dilemahkan dan dimasukkan dalam badan bagi merangsang sistem pertahanan badan iaitua antibody untuk melawan jangkitan virus Covid-19.
Majlis Mesyuarat Khas Jawatankuasa MUZAKARAH, mengambil ketetapan bahawa hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan wajib diambil oleh golongan yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
Oleh itu, tidak perlu timbul syak wasangka mengenai halal atau haram vaksin Covid-19 ini.
Jenis-jenis vaksin yang diambil oleh Malaysia ialah Pfizer, AstraZeneca, dan Sinovac.
“Vaksin ini dibuat oleh negara-negara tertentu yang dibekalkan ke Malaysia, dan kita terpaksa bersaing dengan negara-negara lain untuk mendapatkannya,
“Di negeri Johor, sehingga 8 Jun 2021, seramai 1.582 juta rakyat di negeri ini telah mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19. Seramai 1.68 juta masih belum mendaftar,” kata beliau.
Sehingga 7 Jun 2021, seramai 226,317 orang telah menerima suntikan vaksin.
“Penduduk Johor perlu segera mendaftar bagi mendapatkan Vaksin Covid-19,”
Cara mudah mendaftar adalah melalui aplikasi MySejahtera dengan lima langkah.
i. kemaskini aplikasi MySejahtera anda.
ii. Kedua, klik butang Vaksinasi Covid, vaksin untuk (nama anda)
iii. Sahkan maklumat anda
iv. Klik ‘di sini’ untuk memberikan maklumat tambahan
v. Jawab soalan yang diberikan dan klik ‘hantar’ atau ‘submit’
Kita juga boleh mendaftar untuk ahli keluarga dengan menggunakan MySejahtera kita, iaitu dengan tekan ‘menambah tanggungan kepada vaksin’ dan selesaikan seperti langkah yang diberitahu di atas tadi.
Bolehkah kita memilih vaksin?
Tidak. Penerima vaksin tidak dibenarkan untuk memilih vaksin covid-19 yang akan diterima kerana ianya bergantung kepada bekalan stok sedia ada di Pusat Pemberian Vaksin.
Vaksin mana yang bagus?
Semua vaksin bagus. Cara vaksin bekerja, harga, negara mana yang keluarkan dan kajian vaksin yang membezakan antara satu sama lain.
Fungsi vaksin tetap sama, iaitu mencegah.
"Memang akan ada kesan sampingan, tetapi ianya bersifat sementara seperti rasa nak demam, sengal-sengal di lengan dan badan berasa hangat,
"Ini adalah baik sebagai tindak balas badan kepada benda asing yang dimasukkan kedalam badan kita," tambah beliau lagi.
Terdapat 26 PPV di Johor dan jumlahnya akan bertambah.
Kerajaan negeri bercadang untuk menambah PPV baru iaitu PPV pandu lalu dan PPV Bergerak.
Antara lokasi yang dicadangkan adalah di Johor Bahru iaitu di Angsana, BigBox Sunway, Legoland (drive-thru), manakala di Batu Pahat pula akan dibuat di Dewan Konvokesyen UTHM.
Muar pula akan diadakan di EDU Hub Pagoh, di Kluang pula Bangunan LHDN, di Pontian pula di MRSM Pontian, seterusnya di Tangkak pula KKTM Serom dan di Kulai, akan diadakan di UTM Skudai.
Mengenai PPV industri pula, kerajaan negeri bercadang mewujudkan PPV Industri ini di Austin dan Pengerang.
Penambahan PPV ini perlu kerana Johor menyasarkan untuk memberi 50,000 suntikan sehari sehingga Oktober bagi membentuk imunisasi berkelompok.
Janganlah kita mengambil mudah dan patuhilah SOP dan daftar untuk vaksin.
“Jadilah rakyat yang bertanggungjawab demi menjaga keselamatan, kesejahteraan dan kesihatan negara kita,”
Lindungi diri, lindungi semua.
--PN Online
Comments