• newsatmy

Solskjaer pertahan pemilihan skuad selepas disingkir Leicester City

22 Mac 2021

LEICESTER 3 MAN UNITED 1


Ole Gunnar Solskjaer menegaskan bahawa dia sama sekali tidak menyesal atas pemilihan barisan utamanya selepas Manchester United tumbang 1-3 di Leicester City dalam suku akhir Piala FA, awal pagi tadi.


Bekas penyerang Manchester City, Kelechi Iheanacho, menyumbat kedua-dua gol dalam setiap babak sementara penyudah Youri Tielemans menambah lagi garam di luka lawan untuk pasukan bimbingan Brendan Rodgers itu menempah tiket ke separuh akhir menentang Southampton di Wembley.


Mason Greenwood menyamakan kedudukan sebelum menuju ke bilik persalinan dalam kesempatan yang jarang diperoleh United ketika menyudahkan gerakan yang diilhamkan Paul Pogba dan Donny van de Beek itu.


Begitupun, kerjasama duo tengah itu -- yang baru sembuh daripada kecederaan -- bertahan selama sejam sebelum Bruno Fernandes dimasukkan tetapi masih gagal mengubah keadaan.


Justeru, Solskjaer berasakan rombakan seperti itu adalah keperluan memandangkan jadual padat yang mereka hadapi selepas mengatasi Milan dalam Liga Europa, Jumaat lalu.


"Saya masih akan tetap menamakan barisan utama yang sama. Kami berasakan (Pogba dan Van de Beek) memang patut beraksi lebih 45 minit," katanya.


"Mereka pemain penting buat kami, itulah sebabnya kami menurunkan mereka dalam kesebelasan.


"Kami memilih pasukan yang kami rasakan akan memenangi perlawanan ini atau memberi kami asas untuk memenanginya.


"Kami sedar pemain seperti Donny dan Paul tidak akan bertahan lebih dari sejam."


23 gol dan 13 bantuan jaringan yang dicetuskan Fernandes menyaksikannya mendahului kedua-dua kategori itu buat The Red Devils musim ini.


Bagaimanapun, dalam kalangan pemain luar, hanya ketua pasukan, Harry Maguire, (3,945 minit) dan gandingan pertahanan, Aaron Wan-Bissaka, (3,651) telah tampil lebih banyak minit permainan daripada perancang kelahiran Portugal itu (3,488) sepanjang kempen 2020/21.


"Setiap pemilihan pasukan mempunyai alasan tertentu. Bruno terlalu kerap dikerah," katanya.


"Dia adalah manusia biasa. Dia telah beraksi dalam setiap tiga atau empat hari.


"Ini adalah satu kesempatan untuk meletakkan Donny dan Paul dalam barisan utama. Jadual padat mungkin membayangi kami.


"Dengan Bruno, saya tahu dia mahu beraksi tetapi kadang-kadang saya perlu membuat keputusan demi kepentingan pasukan dan dirinya."


Walaupun kebanyakan pengurus akan berasa khuatir tentang perlawanan kebangsaan yang akan datang lebih-lebih lagi menuju ke peringkat akhir kempen musim ini, Solskjaer percaya ia masa yang tepat untuk anggota tertentu skuadnya.


"Saya rasa jadual antarabangsa akan memberi peluang kepada Paul dan Donny untuk beraksi termasuk Anthony Martial," katanya.


Bahkan, Marcus Rashford juga dibenarkan melaporkan diri bersama skuad England biarpun dibelenggu kecederaan kaki.