• newsatmy

Sonny amat bertuah bapanya lelaki lebih baik daripada Ole - Mourinho

12 April 2021


Jose Mourinho (kanan) dan Ole Gunnar Solskjaer meninggalkan padang di hujung perlawanan EPL antara Tottenham Hotspur dan Manchester United di Stadium Tottenham Hotspur, di London, 11 Apr, 2021. (Foto AP)


JOSE Mourinho melancarkan kecaman aneh ke atas Ole Gunnar Solskjaer selepas pengurus Manchester United itu mengkritik penyerang Tottenham Hotspur, Son Heung-min.


Pengendali United, Solskjaer, meluahkan ketidakpuasan hatinya dengan tindakan Son merebahkan badan dalam babak pertama pertemuan Liga Perdana Inggeris (EPL) di antara kedua-dua pasukan itu selepas lengan Scott McTominay kelihatan terkena muka pemain Korea Selatan berkenaan.


Ia merupakan satu insiden ringan di bahagian tengah yang mengakibatkan gol pembukaan Edinson Cavani buat United dibatalkan selepas rujukan video bantuan pengadil (VAR) dan walaupun pasukannya bangkit daripada ketinggalan untuk memenangi perlawanan di Stadium Tottenham Hotspur itu dengan keputusan 3-1, pengurus berbangsa Norway berkenaan memberikan satu komen pedas mengenai reaksi Son.


Solskjaer berkata kepada Sky Sports: "Saya perlu katakan bahawa jika anak lelaki saya rebah seperti itu untuk tiga minit dan kesemua 10 rakannya datang ke sekelilingnya... jika dia menerimanya di muka daripada seorang rakannya dan memerlukan 10 rakan lain untuk membantunya, dia tidak akan dapat sebarang makanan."


Mourinho, yang tidak gembira dan "amat-amat terkejut" kerana tidak ditanya oleh wartawan mengenai insiden itu dalam sidang media selepas perlawanan, secara sukarela memberikan pandangannya.


"Saya sudah memberitahunya kepada Ole kerana saya baru sahaja bertemunya beberapa minit lalu," kata Mourinho.


"Jika saya yang bercakap mengenai pemain A, B atau C daripada kelab lain, 'jika dia anak lelaki saya, saya tidak akan memberikannya makan malam', atau sesuatu seperti ini, bagaimana pula reaksinya?"


Buat wartawan pula, Mourinho menambah: "Ia amat-amat menyedihkan. Saya fikir ia amat menyedihkan apabila anda tidak bertanyakan kepada saya mengenainya. Ia amat menyedihkan apabila anda tidak mempunyai moral dan kejujuran untuk melayani saya sama seperti anda melayani orang lain."


Bekas ketua jurulatih Chelsea, Inter Milan dan Real Madrid itu, yang pasukannya melepaskan kelebihan satu gol daripada babak pertama untuk tewas 1-3 dan memperlihatkan harapan mereka untuk menyertai Liga Juara-Juara (UCL) musim depan turut terjejas, meneruskan bicaranya.


"Berkaitan isu itu, saya mahu berkata bahawa Sonny amat-amat bertuah bapanya lelaki yang lebih baik daripada Ole kerana saya fikir sebagai seorang bapa -- saya juga seorang bapa -- anda sentiasa perlu memberikan makanan buat anak anda, tidak kira apa yang mereka lakukan.


"Jika anda perlu mencuri untuk memberikan anak anda makanan, anda perlu mencuri. Saya amat-amat kecewa, dan seperti yang kami katakan di Portugal, roti tetap roti dan keju tetap keju. Saya sudah memberitahu Ole mengenai apa yang saya fikirkan mengenai komennya," katanya. -Astro AWANI