top of page
Writer's pictureArissa Azman

Speaker tolak usul Proklamasi Darurat satu bentuk salah guna kuasa - PH

26 Julai 2021

Pakatan Harapan (PH) membantah tindakan Speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun menolak lima usul pembangkang, yang antaranya usul berkaitan Proklamasi Darurat untuk dibahas dan diluluskan di parlimen.


Jawatankuasa Perundangan PH, dalam satu kenyataan berkata Azhar menolak kesemua usul yang dikemukakan Anwar Ibrahim (Port Dickson) dan Ngeh Koo Ham (Beruas), serta enggan membenarkan ia dimasukkan ke Aturan Urusan Mesyuarat bagi sidang khas parlimen yang bermula hari ini.


"Kami berpandangan bahawa penolakan usul-usul oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat ini adalah satu bentuk salah guna kuasa dan membuktikan beliau tidak mampu bertindak sebagai seorang Speaker yang tidak berpihak atau bebas (independent) yang mampu menjamin fungsi Parlimen sebagai platform semak dan imbang terhadap Eksekutif.


"Tindakan-tindakan beliau ini membuktikan beliau hanyalah satu alat pihak Eksekutif demi melaksanakan agenda mereka.


"Dalam keadaan kini, amatlah jelas dari tindakan Yang di-Pertua Dewan Rakyat bahawa Kerajaan Perikatan Nasional sangat terdesak untuk mengelakkan sebarang undian di dalam Dewan Rakyat, dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah menjadi agen kerajaan untuk memastikan tidak akan ada sebarang pengundian dalam sidang khas ini," kata PH dalam satu kenyataan.


Mesyuarat khas Dewan Rakyat selama lima hari yang bermula hari ini akan menyaksikan para menteri memberikan taklimat kepada ahli-ahli parlimen.


Persidangan khas ini diadakan setelah Yang di-Pertuan Agong menitahkan agar parlimen bersidang segera, namun tidak ada perbahasan penting dalam agenda mesyuarat.


Ordinan Darurat akan berkuatkuasa selama enam bulan lagi sekiranya ia tidak dimansuhkan.


Jawatankuasa Perundangan PH berkata Azhar telah secara salah menggunakan Peraturan Mesyuarat 11(3) yang membolehkan perdana menteri menetapkan urusan-urusan bagi sidang khas ini.


"Yang di-Pertua Dewan Rakyat jelas telah membelakangi hasrat dan maksud sebenar Duli-Duli Tuanku dengan menolak usul-usul YB Port Dickson dan YB Beruas.


"Amat jelas, seperti yang telah dinyatakan di atas, bahawasanya niat sebenar Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan kerajaan PN adalah untuk menghalang sebarang pengundian dari berlaku sewaktu sidang khas parlimen. Dan itulah sebabnya mengapa mereka melakukan tindakan terdesak dan kurang bijak menolak usul-usul yang akan diundi," kata mereka.


Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh William Leong (Selayang-PKR), Mohamed Hanipa Maidin (Amanah-Sepang), Ramkarpal Singh (Bukit Gelugor-DAP), R Sivarasa (Sungai Buloh-PKR), Muhammad Faiz Fadzil ( Permatang Pasir-Amanah), Fadhlina Sidek (PKR) dan Zulqarnain Lukman (Amanah).


Kerajaan PN kini memiliki majoriti empat ahli parlimen.


Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi pada 8 Julai lalu mengumumkan bahawa Umno yang memiliki 38 ahli parlimen, menarik balik sokongannya terhadap kerajaan.

Comments


bottom of page