top of page
  • newsatmy

SPRM Boleh Siasat Pemimpin PAS Bila-Bila Masa- Hadi Awang

25 Mac 2021 : Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, menegaskan PAS sedia membuka ‘pintu’ 24 jam bagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan tugas termasuk menyiasat dan mengambil tindakan terhadap pemimpinnya terutama dalam kerajaan Pusat atau negeri.


Abdul Hadi berkata beliau percaya tarbiyah dalam parti melahirkan pemimpin dan mewujudkan kerajaan yang bersih daripada rasuah dan salah laku.


“Mereka (SPRM) dibenarkan bertindak tanpa sebarang halangan terhadap semua Menteri Besar, Exco Kerajaan Negeri dan anggota kerajaan,” katanya dalam Minda Presiden PAS yang dikongsi menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau, hari ini.


Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, tahap integriti pemimpin PAS sama ada sebelum atau selepas menjadi kerajaan jelas tidak berubah dan ia boleh dilihat berdasarkan sejarah parti itu memerintah Kelantan, Terengganu dan Kedah.


“Alhamdulillah, terbukti integriti Menteri Besar Kelantan yang memimpin selama lebih dua puluh tahun (1959-1978 dan 1990-2013), begitu juga di Terengganu (1959-1961) dan Kedah (2008-2013).


“Semua pemimpin ini tidak meninggalkan pusaka rumah banglo atau cuba mengambil kesempatan ketika mengecapi kemenangan dan memimpin kerajaan negeri, ” katanya.


Beliau yang juga Duta Khas Perdana ke Asia Barat berkata, perkara sama juga boleh dilihat ketika PAS berada dalam Kerajaan Pusat dari tahun 1973 sehingga tahun 1978 dan kini diuji bersama kerajaan Perikatan Nasional (PN).


“PAS juga mewajibkan calon wakil rakyat yang bertanding untuk berbaiah dengan sumpah setia demi Allah SWT.


“Pada masa yang sama, tidak mengkhianati dasar dan konsep perjuangan, dengan keimanan kepada hukum baiah,” katanya.


Abdul Hadi turut bangga PAS bersama melakukan perubahan kerajaan daripada Pakatan Harapan (PH) kepada PN yang dilaksanakan secara demokratik mengikut undang-undang yang sah dan berprinsip.


Katanya, PAS kini melangkah menuju Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bersama tiga model kerajaan negeri dan menyertai kabinet kerajaan Pusat.


“Langkahnya sangat panjang, bukan sekadar Langkah Sheraton,” katanya.

-PN BBC Portal


bottom of page