top of page
  • newsatmy

SPRM kata syarikat suap Zahid tiada perniagaan, tapi akaun terlalu aktif

3 Mac 2021

Tiga syarikat yang terlibat dalam kes rasuah membabitkan Ahmad Zahid Hamidi didapati tidak menjalankan sebarang aktiviti perniagaan, kata pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Zamri Abdul Rashid.


Meskipun tiga syarikat berkenaan - Mastoro Kenny IT Consultant & Services (Mastoro Kenny), Jogabonito Jewellery & Diamonds (Jogabonito) dan Berani & Jujur Trading (Berani & Jujur) - didapati tidak menjalankan aktiviti perniagaan, namun, kata Mohd Zamri, ada yang mempunyai akaun terlalu aktif, membabitkan keluar-masuk wang dalam jumlah yang besar.


Dia berkata demikian ketika pemeriksaan semula oleh timbalan pendakwa raya Ahmad Sazilee Abdul Khairi, sebagai saksi ke-92 perbicaraan perbicaraan rasuah, pengubahan wang haram dan pecah amanah membabitkan bekas timbalan perdana menteri itu.


Mohd Zamri menjawab soalan Ahmad Sazilee berkaitan hasil siasatannya terhadap kewangan ketiga-tiga syarikat berkenaan.


“Berani & Jujur (didapati) tidak mempunyai syarikat, pekerja, dan berdaftar di satu alamat apartment. Daripada penilaian kewangan, keluar masuk akaun terlalu aktif dengan jumlah yang besar.


“Kalau merujuk SSM, Berani & Jujur terlibat dalam (aktiviti) pertanian, dan berdasarkan (keterangan) saksi juga (menyatakan) perniagaan kain, tetapi semakan kewangan (menunjukkan) pengeluaran duit keluar-masuk terlalu aktif.


“Siasatan saya (mendapati) tak wujud perniagaan kain. Penggeledahan di premis pun tak ada perniagaan di premis tersebut.


“Mastoro Kenny juga sama, kerana menggunakan alamat apartment yang sama dengan Berani & Jujur, tak ada perniagaan dijalankan di sana.


“Jogabonito juga sama, pada masa siasatan dilakukan, tak ada perniagaan berlaku,” katanya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.


Ahmad Zahid berhadapan dengan 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan CBT melibatkan dana Yayasan Akalbudi, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.


Dalam pertuduhan ke-11, 12, dan 13, dia dituduh menerima suapan berjumlah RM13.25 juta daripada Mastoro Kenny antara 2017 hingga 2018, sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapatkan projek-projek MyEG di bawah kendalian Kementerian Dalam Negeri (KDN).


Suapan itu didakwa dibuat menerusi cek-cek milik Mastoro Kenny (13 cek), Jogabonito (satu cek), dan Berani & Jujur (10 cek). - MK

bottom of page