top of page
  • newsatmy

SR Asia sasar keluarkan 200,000 produk detergen sebulan

12 April 2021


PUNCAK ALAM: SR Asia Resources Sdn Bhd menyasarkan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran produk sabun dan detergen sehingga 200,000 unit sebulan menjelang akhir 2022 didorong pembukaan kilang baharunya di sini.


Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Syukri Ibrahim, berkata kilang baharu bernilai RM5 juta yang dibeli oleh syarikat itu akan menggunakan teknologi automasi sepenuhnya, sekali gus membolehkan lebih banyak produk dihasilkan.


Katanya, jumlah itu adalah jauh berbeza hampir tiga kali ganda berbanding kilang lama sebelum ini yang hanya berupaya mengeluarkan di antara 60,000-70,000 unit produk sebulan.


"Kita jangkakan akan berpindah ke kilang baharu ini yang terletak di Puncak Alam, Selangor pada awal tahun depan dan keseluruhan operasi di kilang ini nanti adalah secara automasi sepenuhnya.


"Syarikat juga menyasarkan untuk memperkenalkan produk baharu, iaitu pencuci pakaian bayi dan sabun mandian untuk bayi yang akan dikeluarkan di kilang baharu ini.


"Produk ini akan dikeluarkan selepas kami berjaya mendapatkan pensijilan Amalan Pengilangan Baik (GMP) bagi memastikan tahap kualiti produk yang syarikat hasilkan adalah pada tahap paling tinggi," katanya ketika ditemui di ibu pejabat baharunya di Wisma Do'zee di sini baru-baru ini.


Yang turut hadir Pengerusi SR Asia Resources, Sheikh Muhd Zainul Asri Mohd Romli.

SR Asia Resources menawarkan tujuh kategori produk membabitkan 36 jenis antaranya sabun cecair pakaian; penjagaan kenderaan; pelembut; pencuci pinggan; pencuci lantai, pencuci tangan dan pencuci untuk kegunaan industri di bawah jenama Do'zee.


Mengulas lanjut Mohd Syukri berkata, pihaknya juga merancang untuk mengembangkan perniagaan mereka ke luar negara dengan mengeksport produk cucian keluarannya ke China.


"Kita sedang dalam proses dengan pihak Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) untuk mengeksport produk cucian kita ke China pada awal tahun depan," katanya.


Dalam pada itu, Mohd Syukri berkata, beliau juga dalam perancangan untuk membuka sebuah pusat pemborongan barangan basah dan kering terbesar di Puncak Alam pada tahun depan.


Katanya, pembukaan pusat borong itu akan melengkapkan dan memudahkan lagi perjalanan operasi niaganya untuk jangka masa panjang.


"Saya sudah menceburi bidang pemborongan ini sejak tahun lalu secara kecil-kecilan dan memandangkan permintaan sudah ada serta makin bertambah, saya mahu terus aktif dalam segmen ini.


"Ia membabitkan jualan barangan secara pukal bagi barangan basah dan kering kepada peniaga kecil, saya jangkakan segmen ini bakal menyumbang kira-kira 25 peratus kepada pendapatan syarikat," jelasnya. -BH Online

Comments


bottom of page