• newsatmy

Sudah-sudahlah sandarkan kepada kenangan, pesan Ibrahimovic kepada Manchester United

25 NOVEMBER 2021

MANCHESTER UNITED perlu mengetepikan terlalu bersandarkan tentang kejayaan silam sebaliknya perlu membina skuad sekarang, menurut bekas penyerang kelab itu, Zlatan Ibrahimovic.


Penyerang Sweden itu berkelana ke Old Trafford selama dua tahun selepas meninggalkan Paris Saint-Germain (PSG) sebelum ke LA Galaxy pula.


Sepanjang kerjayanya menyarung jersi The Red Devils, United memenangi Liga Europa dan Piala Liga Inggeris (EFL) di bawah kendalian Jose Mourinho pada musim 2016-17 yang menyaksikan Ibrahimovic menamatkan kempen itu sebagai penjaring terbanyak kelab dengan 28 gol.


United menduduki tempat kedua dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim berikutannya -- kali pertama pencapaian seumpamanya sejak persaraan Sir Alex Ferguson -- dan Ibrahimovic kemudian membawa diri ke Amerika Syarikat pada pertengahan musim sebaik pulih daripada kecederaan lutut yang serius.


Mourinho kemudiannya dipecat pada penghujung 2018 dan sejak itu United kemarau trofi sementara pengganti pengurus Portugis tersebut, Ole Gunnar Solskjaer, turut ditunjukkan jalan keluar ekoran rentetan keputusan buruk yang diraih.


Bagi kebanyakan orang, Solskjaer tidak sepatutnya dilantik sekalipun bersandarkan reputasinya sebagai pemain legenda kelab itu.


Pengurus dari Norway itu dikelilingi kakitangan kejurulatihan yang juga pernah mempunyai kaitan dengan United dan Ferguson, lantas Ibrahimovic percaya ketaasuban terhadap masa lampau adalah sebahagian daripada masalah di kelab itu.


“Saya mempunyai pengalaman hebat di England,” katanya kepada Guardian.


“Manchester United adalah kelab yang menakjubkan dan kami memenangi beberapa trofi.


"Mereka terlalu banyak bercakap tentang masa lalu. Apabila saya pergi ke sana, saya berkata: 'Saya di sini untuk memberi tumpuan kepada masa kini dan mengarang kisah saya sendiri.'


"Tetapi apabila anda mempunyai terlalu banyak perkara lampau maka lingkaran boleh terjadi. Anda perlu memikirkan tentang masa kini atau anda harus pergi ke hospital untuk mencuci minda anda."