top of page
  • cik skod

"Sudah tentu saya inginkannya (gol)"-Mohamad Faisal


KUALA LUMPUR 6 Mac: Pemain sayap sensasi Selangor, Mohamad Faisal Abdul Halim tidak berasa tertekan meskipun gagal menjaringkan gol sulung bersama Gergasi Merah selepas tiga perlawanan Liga Super musim ini.


Mohamad Faisal menyifatkan perkara itu tidak menjejaskan fokusnya dalam membantu Selangor memburu kemenangan biarpun setiap gol umpama motivasi dan mampu memberi kepuasan kepadanya.


"Sudah tentu saya inginkannya (gol), itu saya punya semangat dan kekuatan, jika jaringkan gol ia satu kepuasan bagi saya. Tetapi kalau lihat balik tahun lepas (bersama Terengganu), tiga perlawanan pertama pun saya tak jaringkan gol tetapi ia akan datang.

"Saya percaya dengan rezeki, kita ada musim yang sangat panjang sampai Disember. Pada saya gol memang penting tetapi yang penting sekarang ialah bantu Selangor menang setiap perlawanan, itu yang utama," katanya selepas aksi menentang Sri Pahang, semalam.


Pada pertembungan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya itu, Selangor bangkit mengikat Sri Pahang 1-1 menerusi tandukan kapten Brendan Gan pada minit ke-88 untuk menyamakan kedudukan selepas Stefano Brundo meletakkan Tok Gajah di depan pada minit ke-74.


Mengulas lanjut, Mohamad Faisal yang lebih mesra disapa Mickey berkata, beliau masih mencari rentak yang sebenar selepas menyertai skuad bimbingan Tan Cheng Hoe itu pada Disember tahun lepas.


Pemain berusia 25 tahun itu mengumpul keseluruhan 11 gol dalam kempen Liga Malaysia musim lepas apabila meledak enam gol dalam saingan Liga Super, Piala FA (tiga) dan Piala Malaysia (dua).


Beliau turut memiliki rekod memberangsangkan di pentas antarabangsa selepas menjaringkan keseluruhan sembilan gol dalam kesemua perlawanan bersama pasukan kebangsaan tahun lalu.


Selangor yang belum tewas selepas melakar dua kemenangan di awal musim akan bertandang ke Pulau Pinang untuk bertemu Penang di Stadium Bandaraya, Ahad ini. - BERNAMA

Комментарии


bottom of page