• Nur Farhana Abdullah

"Sugar Baby"? Desakan atau kemahuan?


Minggu ini kita digemparkan dengan pendedahan pelajar Pengajian Tinggi yang terlibat dengan aktiviti sosial sehingga membawa kepada kancah pelacuran melalui aplikasi Sugarbook.


Sugarbook turut mendedahkan senarai 10 universiti di Malaysia termasuk dua universiti awam, yang terlibat menjadi "Sugar Baby" dengan seramai 12,705 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) terjebak dalam kancah itu.


Kamus Cambridge mentafsirkan bahawa Sugar Daddy bermaksud: a rich and usually older man who buys presents for or gives money to a younger person, especially a woman, usually so that the younger person will spend time with him and have a sexual relationship with him.


Ada yang berkata, mereka yang terlibat ini kebanyakkannya adalah non-Muslim. Pada hakikatnya kita tidak boleh memandang ringan mengenai isu ini.


Hal ini kerana kegiatan pelacuran dalam kalangan golongan berpendidikan memberikan gambaran tentang keruntuhan aset penting negara malah boleh mengundang kepada kehancuran institusi rumah tangga.


Perkara ini pernah disabdakan oleh Rasulullah. Baginda SAW pernah menegaskan bahawa fenomena zina akan membawa kepada kebinasaan. Pembudayaan zina dalam kalangan mahasiswa menggambarkan rosaknya masa hadapan sesebuah negara. Sabda Rasulullah:


إذا ظهر الزنا والربا في قرية فقد أحلوا بأنفسهم عذاب الله


“Sekiranya berleluasanya perbuatan zina dan riba dalam sesuatu kawasan, maka mereka telah mengundang azab Allah kepada mereka.” (HR al-Tabrani, dinilai sahih oleh al-Albani).


Malah pertumbuhan dan peningkatan budaya zina dalam kalangan mahasiswa berupaya menghasilkan anak-anak zina. Ini adalah seakan satu proses ke arah pembinaan keruntuhan sesebuah negara bangsa. Sabda Rasulullah:


لاتزال أمتي بخير ما لم يفش فيهم ولد الزنا، فإذا فشا فيهم ولد الزنا؛ فأوشك أن يعمهم الله بعذاب


“Umat ini akan sentiasa berada dalam keadaan yang baik selagimana tidak tersebarnya anak-anak zina. Sekiranya berleluasanya anak-anak zina, maka dibimbangi Allah akan merencana azab yang lebih luas buat mereka. (HR Ahmad)


Justeru segala platform dan ruang yang membawa kepada pembudayaan keji ini haruslah dihentikan. Kita tidak mahu melahirkan pelacur dalam kalangan pelajar Pengajian Tinggi. Semua pihak hendaklah menjalankan peranan masing-masing dalam menghancurkan budaya zina ini.


Oleh itu, ada suara dari rakyat Malaysia dan ibu bapa yang meminta aplikasi Sugar Book disekat di dalam Malaysia.


Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Pontian, Encik Matharuzaman Ahmad turut menyuarakan pendapat yang sama kerana bimbang anak-anak muda berisiko dipengaruhi oleh budaya asing yang tidak bermoral di peringkat universiti.



Beliau berpendapat bahawa anak muda ini merupakan aset negara untuk masa akan datang. Hal ini kerana masa depan negara bergantung kepada golongan profesional iaitu siswazah pada masa sekarang.


Hal ini bermakna, para siswazah harus mempunyai jati diri yang baik agar dapat menjamin masa depan negara ke arah yang lebih terjamin.


Apabila aplikasi menawarkan khidmat kepada "sugar daddy" dan memudahkan orang ramai menyertainya, ia membawa maksud negatif, pemerdagangan manusia dan pelacuran.


Poster dari syarikat berkenaan yang menunjukkan ribuan mahasiswi universiti menyertainya bagi mencari "sugar daddy" dan sebalik, merisaukan kami semua.


Maka dengan ini kami menuntut Menteri Komunikasi dan Multimedia serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia agar menyekat aplikasi dan web berkenaan seperti yang berlaku kepada daesh dan nombor-nombor perjudian. - PN Online