• newsatmy

Sukan SEA: Hanya lima pemain lapor diri latihan pusat

20 April 2022

PETALING JAYA: Hanya lima daripada 31 pemain skuad Bawah-23 (B23) yang dipanggil untuk latihan pusat Sukan SEA Hanoi, melaporkan diri untuk sesi latihan pertama mereka di Wisma FAM, malam tadi.


Lima pemain tersebut adalah Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, Muhammad Fahmi Daniel Mohd Zaaim, Muhammad Faiz Amer Runnizar, Muhammad Shafi Azswad Sapari dan Muhammad Haqimi Azim Rosli.


Dengan pengecualian untuk pemain berpangkalan di luar negara iaitu Luqman Hakim Shamsudin dan Muhammad hadi Fayyadh Abdul Razak yang dijangka akan pulang minggu hadapan, yang lainnya merupakan pemain dalam Liga Malaysia.

Bagaimanapun Ketua Jurulatih Brad Maloney berharap bahawa kesemua pemain lain yang pada masa ini bermain dalam Liga Super dan Liga Premier, akan dapat melaporkan secara berfasa dalam tempoh terdekat.


"Terdapat kemungkinan (kelab tidak melepaskan pemain mereka). Pada masa ini kami sedang berbincang dengan kelab, jadi saya percaya pemain akan melaporkan diri, tetapi ia berkaitan bila mereka (pemain) akan laporkan diri," katanya kepada media di Wisma FAM, malam tadi.


Maloney berkata, jika Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) boleh mengumpulkan pasukan terbaik untuk temasya itu yang dijadualkan dari 12-23 Mei ini, beliau yakin akan dapat mencapai sesuatu keputusan yang baik.


Beliau berkata Muhammad Hadi yang kini bersama Azul Claro Numazu, Jepun, dan Luqman Hakim (KV Kortrijk, Belgium) akan melaporkan diri masing-masing pada 25 dan 29 April.


"Saya tahu kebolehan Luqman dengan baik, saya telah bekerjasama dengannya banyak kali, beliau satu aset bernilai untuk pasukan ini, beliau sentiasa bersedia bermain untuk negara.


"Hadi pula, kami telah tidak memanggil beliau untuk setahun, beliau sedang pulih atau baru pulih daripada kecederaan baru-baru ini, jadi telahpun mula bermain dan berlatih semula. Kini kami berharap untuk melihat dan menilai tahap kecergasannya sebaik beliau tiba," katanya.


Sementara itu, penjaga gol Selangor FC Sikh Izhan berkata beliau bersedia untuk memberikan yang terbaik jika dipilih bermain di sukan SEA pada bulan depan.


"Bagi saya berapa hari ini (latihan), suatu yang baik untuk saya fokus, jurulatih pun boleh fokus untuk saya berlatih, jadi akan pertingkatkan lagi sedikit demi sedikit," katanya.


Berdasarkan perancangan asal, anak buah Maloney dijangka akan bermain dalam perlawanan persahabatan menentang B-23 Timur Leste pada 23 dan 29 April, dan B-23 Filipina pada 1 Mei, sebelum memuktamadkan senarai terakhir 20 pemain untuk ke Hanoi pada 4 Mei.


Diundi dalam Kumpulan B, Malaysia dijadualkan untuk berhadapan Thailand pada 7 Mei, Laos (11 Mei), Singapura (14 Mei) dan Kemboja (16 Mei) di Stadium Thien Truong Stadium, Nam Dinh.


Hanya dua pasukan terbaik layak ke separuh akhir.


Pada edisi sebelum ini di Sukan SEA 2019, anak buah Ong Kim Swee gagal melepasi peringkat kumpulan, selepas memenangi pingat perak pada edisi 2017, di Kuala Lumpur.


Malaysia kali terakhir memenangi 'ibu segala emas' temasya itu pada edisi 2011 di Indonesia di bawah bimbingan Kim Swee.