- cik skod
Sukma: Skuad hoki lelaki Terengganu optimis raih emas
KUALA TERENGGANU,14 sept: Skuad hoki lelaki Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu yakin mampu membawa pulang pingat emas pada temasya itu yang akan berlangsung dari 16 hingga 24 Sept ini di Kuala Lumpur. Keyakinan itu dilaungkan oleh ketua jurulatih skuad itu Faizal Ismail berdasarkan persiapan, prestasi semasa dan barisan pemain berpengalaman yang akan membawa cabaran untuk skuad Hanelang.
“Kita ada nama besar seperti Mohd Akhimullah Anuar, Nukman Mohamad dan Abid Suffian Mat Roslee, iaitu pemain hoki Terengganu Hockey Team (THT) dan juga bekas atlet skuad remaja kebangsaan.
“Seorang lagi pemain kebangsaan Sharman Mat Tee sepatutnya beraksi untuk Sukma tahun ini, tetapi tidak dapat diturunkan kerana terlibat dengan skuad senior negara yang akan terbang ke Eropah pada 16 Sept ini untuk aksi pemanas badan sebagai persediaan menghadapi Piala Sultan Azlan Shah November depan,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata untuk Sukma kali ini, Terengganu diundi dalam Kumpulan A bersama pasukan Perak, Kuala Lumpur, Melaka, Perlis, Kedah dan Sabah.
Faizal juga menjangka tidak akan berdepan sebarang masalah untuk mara ke perlawanan akhir dengan cemerlang, sekali gus menebus kekecewaan skuad itu pada Sukma 2018 di Perak yang menyaksikan mereka terkandas pada pusingan awal.
“Kita dah adakan perlawanan dengan pasukan-pasukan kuat seperti Johor, Perak dan Pahang. Kekuatan kami adalah setara dan ada peluang untuk bawa pulang emas di Sukma nanti,” katanya yang akan membawa 18 pemain ke temasya berkenaan.
Sementara itu, jurulatih skuad hoki wanita Sukma Terengganu Shahrun Nabil Abdullah pula tidak meletakkan sasaran tinggi pada kejohanan itu memandangkan 90 peratus pemainnya adalah muka baharu yang belum berpengalaman.
“Rata-rata pemain berusia 19 tahun dan kita sebenarnya sediakan mereka untuk kejohanan Sukma 2024.
“Kita tak letak sasaran tinggi untuk Sukma 2022 kerana pelbagai kekangan. Tetapi tak bermakna kita mahu kalah, kalau dapat mara ke separuh akhir sudah cukup baik,” katanya. – BERNAMA
Comentários