top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Surat palsu Hishammuddin tawar diri jadi PM, Setiausaha Akhbar buat laporan polis

25 Jun 2021

KUALA LUMPUR: Satu laporan polis dibuat oleh pegawai Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, berikutan penyebaran surat palsu kononnya beliau memohon kepada Yang di-Pertuan Agong untuk dicalonkan sebagai Perdana Menteri.


Laporan berkenaan dibuat oleh Setiausaha Akhbarnya, Hafiz Ariffin, di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, petang Khamis.


Ditemui selepas membuat laporan polis itu, Hafiz berkata, surat palsu tersebut dibuat dan disebarkan dengan niat untuk memburukkan reputasi Ahli Parlimen Sembrong berkenaan serta mewujudkan kekeliruan kepada orang ramai.


“Surat tersebut telah direka dengan menggunakan, kononnya, kepala surat Bendahari Agung Barisan Nasional, tandatangan kepunyaan Datuk Seri Hishammuddin serta cop perakuan penerimaan surat oleh Bahagian Khidmat Pengurusan Istana Negara bagi tujuan supaya ia kelihatan seolah-olah suatu surat yang sahih.


“Laporan polis ini dibuat bagi menafikan kesahihan surat tersebut dan meminta agar pihak polis melakukan siasatan mengikut Seksyen 469 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 463 dan 464 (a) Kanun yang sama serta Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 (penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian),” katanya di sini, pada Khamis.


Tambah beliau, pemalsuan dokumen dan tandatangan dalam surat tersebut wajar disiasat dan diambil tindakan tegas oleh pihak berkuasa agar tidak berterusan menjadi amalan yang menggalakkan politik kebencian dan fitnah.


Semalam, tular sepucuk surat menyatakan Hishammuddin memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menghadap bagi mempersembahkan jumlah sokongan ahli-ahli Parlimen kepadanya.


Surat yang tersebar itu juga memaparkan kononnya ahli Parlimen bersetuju untuk memilih Hishammuddin sebagai Perdana Menteri.


Bahkan, dalam surat berkenaan turut dipaparkan cadangan barisan kepimpinan Kabinet serta pelantikan penasihat kerajaan daripada kalangan negarawan.



--Awani

Comments


bottom of page