top of page
  • cik skod

Tak Ada Job Berlakon, Lan Siro Balik Kampung Menoreh Getah

14 Ogos

Tidak dinafikan ramai yang terkesan susulan pandemik melanda dua tahun sebelum ini sehingga ramai kehilangan kerja, termasuk pelakon Lan Siro yang menyara kehidupan dengan menoreh getah di kampung.


Memetik Harian Metro, Lan atau nama sebenarnya Azlan Mokhtar berkata dia juga turut bercerai dengan isterinya pada November 2020 selepas lapan tahun berkahwin. Ujarnya, dia mempunyai tanggungjawab terhadap anak-anak dan orang tuanya.


“Saya dah solo sekarang. Dah hampir dua tahun berpisah dengan isteri. Dua anak dengan bekas isteri. Ini adalah dugaan PKP. Saya antara yang berpisah masa PKP. Mungkin jodoh tak panjang kan.


“Namun, saya bersyukur walaupun tidak ada tawaran berlakon sekarang, Allah dah atur elok. Ada saja peluang lain Allah bukakan untuk mencari rezeki. Selagi terdaya saya buat saja kerja apa pun. Dapat bagi nafkah untuk anak-anak dan bagi orang tua sikit cukuplah,” katanya.


Pelakon berusia 40 tahun itu meluahkan rasa syukur kerana mempunyai getah dan tanah sendiri. Lan turut berkongsikan dalam sehari dia boleh meraih pendapatan sebanyak RM20 hingga RM30 namun bergantung pada cuaca.


“Ceritanya bermula sewaktu PKP yang pertama hingga yang terakhir. Masa itu memang tak ada penggambaran dan saya balik ke kampung buat kerja kebun dan menoreh getah. Alhamdulillah getah dan tanah sendiri, tapi taklah luas mana dalam dua ekar saja.


“Bolehlah menampung kehidupan walaupun dalam satu hari itu boleh buat dalam RM20 saja. Harga getah pula tak menentu. Contoh getah sekerap hari ini RM3 sekilogram, selang dua tiga hari menurun dan ada masa naik. Kalau tak hujan boleh dapat RM30,” katanya.

Dalam pada itu, Lan mengakui dia tidak boleh bergantung lagi dengan kerjaya lakonan semata-mata. Ujarnya, kali terakhir dia menerima tawaran berlakon pada Ramadan lalu. Sementara itu, Lan berkata dia turut melakukan perniagaan kecil-kecilan untuk menambah pendapatan.

“Tawaran berlakon terakhir saya dapat dalam awal Ramadan tempoh hari. Itu kali terakhir saya terbabit dalam penggambaran selepas itu tak ada ‘job’. Saya masih duduk di Kuala Lumpur tapi saya berulang alik ke kampung. Kalau saya tak ada buat apa di bandar, saya balik kampung menoreh getah.

“Buat masa sekarang pula saya ada buat perniagaan kecil-kecil. Adalah jual ‘bundle’ macam kasut dan beg. Saya tak salahkan industri hiburan sebenarnya sebab perkara ini kita tak tahu. Jadi saya tak salahkan mana-mana pihak. Mungkin bukan rezeki saya. Selain itu, sekarang ini ada nak mencuba untuk buat penternakan kambing dengan kawan-kawan di kampung. Syukur walaupun tak mewah tapi adalah rezeki itu,” katanya.


bottom of page