top of page
  • admin

Tak ada pun PM bincang tarikh PRU dengan Bersatu: Faizal

18 Sept

Bersatu setakat ini tidak diajak berbincang berhubung tarikh pilihan raya umum ke-15 (PRU-15), kata Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.


Timbalan Presiden Bersatu itu berkata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sehingga hari ini tidak berbincang dengan parti komponen dalam kerajaan sedia ada berhubung pembubaran Parlimen bagi mengadakan PRU-15 walaupun semalam memberi isyarat ia bakal diadakan tidak lama lagi.


“Setakat ini tak ada perbincangan (dengan Perdana Menteri) tetapi again semua orang tahu, tak payah Perdana Menteri, tak payah tanya saya, we know election is very near.

“Memang pilihan raya dah dekat, tempoh lima tahun itu dah hampir matang kalau pun disambung sehingga penghujung pun tak lama lagi dari sekarang,” katanya dipetik laporan Utusan Malaysia.


Faizal ditemui pada Karnival Sukan Moh Kome di Kampung Chandak, Tanjung Rambutan.

Menteri Belia dan Sukan itu berkata, Perikatan Nasional (PN) sudah bersedia untuk menghadapi PRU-15 sekalipun ia diadakan pada masa terdekat ini.


“Kami menjalinkan hubungan yang baik dalam kalangan parti-parti komponen dan kami bersedia menghadapi pilihan raya akan datang,” katanya.


Semalam, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membayangkan PRU-15 akan diadakan dalam masa terdekat.


Tanpa menyebut tarikh sebenar, beliau hanya memaklumkan ‘sedikit lagi, tidak lama lagi’.

“Bila tarikh tarikhnya? Saya dan Presiden akan bincang. Sikit lagi, tidak lama lagi,” katanya semalam.

bottom of page