• newsatmy

Tak ‘Termakan’ Kata Kawan Di Kedai Kopi, Atuk Usia 105 Tahun Ini Terima Suntikan Vaksin

4 Jun 2021

Ramai kecewa apabila kerajaan Kelantan mendedahkan kira-kira 10,000 rakyat di negeri itu tidak hadir janji temu untuk suntikan vaksin COVID-19 mengikut tarikh yang ditetapkan yang terdiri daripada golongan warga emas dan berisiko tinggi.


Difahamkan, antara punca warga emas tidak hadir janji temu itu kerana belum bersedia menerima suntikan vaksin malah tidak diizinkan anak-anak mereka berikutan dipengaruhi berita palsu yang tular di media sosial.


Namun, ada juga yang tidak hadir kerana tidak sedar sudah menerima notifikasi tarikh janji temu yang ditetapkan melalui aplikasi MySejahtera dan isu peribadi yang tidak dapat dielakkan.


Bagaimanapun, situasi pengaruh media sosial dan rakan sekeliling tetap tidak mempengaruhi seorang warga emas berusia 105 tahun apabila berjaya menerima suntikan vaksin COVID-19.


Jaafar Awang Mat dari Kampung Pulong di Kubang Kerian menerima suntikan vaksin dos pertama itu pada Ahad lalu, turut dikongsikan netizen fotonya memegang poster ‘Saya telah divaksin’ di laman sosial sejak Isnin.


Dikenali PokPa dalam kalangan penduduk kampung, mungkin menjadi individu tertua yang direkodkan menerima suntikan vaksin COVID-19 di Malaysia setakat ini, menurut sumber mStar.


Kata cucunya yang dikenali sebagai Suri, datuknya berusia 99 tahun mengikut kad pengenalan tapi sebenarnya berusia 105 tahun pada 9 Julai depan.


Jelasnya, datuknya itu cuma menghidap asma dan secara sukarela mahu menerima suntikan vaksin COVID-19.


“Alhamdulillah, AyahPa (panggilan datuk) tidak dipengaruhi dengan perspektif negatif. Smeoga lebih ramai orang terutama warga emas seperti AyahPa sedia menerima suntikan vaksin,” kata Suri.


Berkongsi pengalaman, datuknya itu tidak menerima kesan sampingan yang ketara selepas menerima suntikan vaksin.


Datuknya juga gemar mendengar ceramah dan tazkirah menerusi saluran radio turut mendedahkan pernah terpengaruh dengan antivaksin. Segelintir orang di kedai kopi bercakap macam-macam perkara negatif tentang vaksin termasuklah boleh menyebabkan kematian.


Namun begitu, datuknya berpendirian perlu ada usaha untuk berlindung daripada terkena penyakit seperti mengambil vaksin kemudian berserah kepada Allah S.W.T.