top of page
  • newsatmy

Taman Tema Genting SkyWorlds cari artis


7 April 2021 KUALA LUMPUR: Bakal dibuka pada suku kedua tahun ini, Taman Tema Genting SkyWorlds di pusat peranginan tanah tinggi, Genting Highlands, menawarkan peluang pekerjaan kepada insan kreatif dan berbakat bagi menyertai pasukan Sky Team Members.

Taman tema yang dilapor membabitkan kos kira-kira RM3.2 bilion (AS$800 juta) itu sedang mencari penyanyi, pemuzik, penari, pelakon dan penghibur watak berkostum melalui siri uji bakat.

Pengurusan Taman Tema Genting SkyWorlds dalam kenyataannya memberitahu, siri bengkel dan sesi uji bakat dianjurkan di Pusat Seni Persembahan Pulau Pinang (PenangPAC) selama dua hari mulai 11 April ini. "Warga Pulau Pinang yang berminat dijemput menghadiri sesi bengkel tarian khas dan taklimat uji bakat yang turut menampilkan panduan kerjaya serta persembahan beberapa jenis tarian di taman tema. "Ini pasti tempat paling sesuai untuk mendapatkan nasihat berguna daripada pakar industri, sambil mempelajari dengan lebih mendalam dunia persembahan hiburan secara langsung yang hebat di pusat peranginan," katanya. Kenyataan menyebut, maklumat lanjut mengenai siri bengkel dan uji bakat itu boleh didapati dengan melayari www.rwgenting.com/auditions.

Taman tema berkenaan turut mencari calon sesuai bagi mengisi jawatan pembantu taman tema, juruteknik dan kru perkhidmatan tetamu.

Pemohon yang mempunyai pengalaman dan kemahiran berkaitan boleh menghantar permohonan kepada https://careers.rwgenting.com.

Sebelum ini, taman tema Genting SkyWorlds dilaporkan bakal dibuka kepada orang ramai pada suku kedua tahun ini, sekali gus akan merancakkan semula sektor pelancongan tempatan.

Ketua Operasi Perniagaan dan Strategi, Resorts World Genting, Lee Thiam Kit, berkata ia bakal menjadi taman tema luar yang amat mengagumkan pada ketinggian 6,000 kaki dari aras laut.

Ini menjadikan Genting SkyWorlds antara taman tema paling unik, bukan sahaja di rantau ini, malah pada peringkat global. -BH Online


bottom of page