top of page
  • newsatmy

Tangkap dalang cetak rompak online?

17 Mac 2021

KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) memandang lebih serius terhadap isu cetak rompak menerusi platform digital dengan memperkasakan Jawatankuasa Pembanterasan Cetak Rompak Digital untuk bertindak lebih agresif bagi membanteras aktiviti berkenaan.


Ini kerana ledakan teknologi membolehkan segala bentuk hiburan daripada muzik, filem, buku, majalah, akhbar hingga siaran televisyen (TV) secara digital ditonton secara percuma dalam talian.


Ia sekali gus membuka ruang 'penyamun' cetak rompak digital bertindak berani dengan menjual karya filem dan muzik tanpa kebenaran menerusi platform e-dagang.


Sebelum ini, banyak filem tempatan yang beralih arah pada platform digital menjadi mangsa penyamun cetak rompak dan dijual tanpa kebenaran dengan harga serendah RM1.


Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata, keberanian penyamun cetak rompak memaksa FINAS bertindak lebih agresif dengan memperkasakan fungsi Jawatankuasa Pembanterasan Cetak Rompak Digital.


"Dalam masa yang sama, kami merangka satu program tindakan bersepadu antara FINAS dan empat agensi kerajaan yang relevan dengan penguatkuasaan isu cetak rompak dan teknologi maklumat.


"Ini bermakna kami akan mengambil tindakan lebih agresif untuk membanteras jenayah cetak rompak digital ini. Tidak hanya membendung, tetapi kami mahu menangkap dalang di sebalik aktiviti haram ini," katanya kepada BH Online.


Sebelum ini, mengikut pemerhati industri, kerugian tahunan berpunca daripada kegiatan cetak rompak digital dalam industri media dan hiburan, dianggarkan mencecah RM3 bilion.

Katanya, FINAS sudah memberikan banyak nasihat dan pendidikan, tetapi nampaknya masih ada pihak yang memandang ringan.


"Jadi, kami kena lebih agresif memandangkan sekarang pawagam sudah mula buka, jadi kandungan akan banyak masuk. Begitu juga platform over the top (OTT), kandungan baharu pun mula disiarkan.


"Kami bimbang kegiatan cetak rompak mula rancak hingga sukar dibendung. Sekarang industri hiburan kian rancak, jadi inilah masanya memperkemaskan penguatkuasaan," katanya.


Ahmad Idham berkata, FINAS juga akan melaksanakan Program Peningkatan Kapasiti Kreatif Malaysia (MyCAP) bagi bertujuan menyelaras pembangunan kapasiti modal insan dan meningkatkan profesionalisme penggiat industri kreatif bagi memenuhi aspirasi Projek Oscar.


"MyCAP dilaksanakan bagi menyediakan pengumpulan data menyeluruh berkaitan industri kreatif melalui platform khusus membabitkan penilaian, pengiktirafan dan penyaluran data berkaitan pemain industri, persatuan serta syarikat dengan skop bidang yang lebih luas.


"Ia adalah sebahagian usaha merangka perancangan lebih baik dalam pembangunan modal insan.


"Program akreditasi, data dan sebagainya semua akan berada dalam MyCAP, cuma perinciannya tidak boleh dikongsi lagi. Ia seperti Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA) yang membabitkan beberapa pecahan program.


Di bawah jenama MyCAP membabitkan beberapa program bertujuan pembangunan kapasiti kreatif di Malaysia.


"Ini adalah perkara baharu menjuruskan kepada pembangunan modal insan. Dalam masa yang sama, MyCAP mengukuhkan penyimpanan data-data industri. Ia selaras dengan hala tuju ke arah menyediakan industri lebih baik ketika pandemik dan selepas pandemik, termasuklah perancangan jangka masa panjang iaitu Projek Oscar," katanya.


Bagi menjelaskan mengenai usaha itu, Ahmad Idham berkata, sesi FINAS bersama penggiat industri kreatif akan diadakan dalam masa terdekat.


"Sekiranya persiapan berjalan dengan lancar, kami akan membuat sidang media khas untuk menjelaskan mengenai program ini. Mungkin seminggu dua lagi FINAS akan mengadakan sesi bersama penggiat seni kreatif," katanya.


Sementara itu, FINAS kini dalam proses akhir bagi kelulusan penambahbaikan pelaksanaan Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI).


Ahmad Idham berkata, perkara itu akan diumumkan kepada penggiat industri kreatif dalam masa yang terdekat bertujuan membantu mereka dalam mendepani cabaran pandemik COVID-19.


"Secara dasarnya, kelulusan sudah diperoleh. FIMI adalah untuk pemain industri tempatan, di mana kami akan memberikan satu kadar perbelanjaan khas supaya dapat menikmati manfaat FIMI," katanya.


-Berita Harian

bottom of page