top of page
  • cik skod

Teater muzikal Moyang Salleh suntik semangat patriotik


SEREMBAN,22 Ogos: Pementasan teater 'Moyang Salleh' yang memaparkan perjuangan pahlawan Negeri Sembilan dalam memperjuangkan kedaulatan Jelebu satu ketika dahulu, diharap dapat menyuntik semangat patriotik dalam kalangan masyarakat.


Pementasan teater muzikal Moyang Salleh yang dihasilkan oleh Karyawan Negeri Sembilan dengan kerjasama Badan Kebajikan Ahsan Undang Luak Jelebu itu dijadualkan berlangsung selama tiga hari mulai 23 Sept ini di Auditorium Raja Melewar Kompleks JKKNNS.


Penerbitnya Siti Salbiah Zahari berkata beliau berpandangan persembahan teater yang memaparkan sejarah, seni dan budaya masyarakat Melayu Negeri Sembilan itu perlu dihayati generasi muda, yang mungkin sudah melupakan sejarah itu. "Fokus teater ini adalah bagi menerapkan jati diri yang tinggi kepada masyarakat dan rasa sayang kepada negara, selain tidak ingin golongan belia terus melupakan sejarah negeri ini, mungkin juga ramai yang tidak biasa dengan cerita Moyang Salleh.

"Jadi sebab itu kita bawa ia ke teater, lebih-lebih lagi di bulan kemerdekaan ini, kita mahu semangat patriotik itu membara dalam diri. Pelbagai program dan kempen dibuat kerajaan untuk semarakkan kemerdekaan, ini adalah usaha kecil kami untuk sama-sama membantu," katanya kepada Bernama pada Ahad.


Beliau berkata pihaknya sangat menitikberatkan fakta yang tepat dalam mementaskan teater itu, termasuk merujuk sumber daripada Undang Luak Jelebu dan pengkaji akademik Moyang Salleh selain mengambil lapan bulan menyiapkan skrip tulisan Subroto Katimin itu.


Anak jati Kuala Pilah itu berkata meskipun isu kewangan antara kekangan terbesar, namun dengan pelbagai bantuan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Sembilan (JKKNNS) seperti lokasi, teknikal dan kostum, teater itu berjaya dihasilkan.

"Penaja mungkin kurang yakin bahawa pementasan teater adalah medium penyampai maklumat yang hebat, lebih-lebih lagi kos menghasilkannya kira-kira RM1.6 juta, kerana kita ada produksi yang ramai untuk beri impak berkesan," katanya dan menambah bercadang mengangkat teater itu ke filem.


Beliau berkata pementasan teater arahan Pengarah Roslee Mansor itu membabitkan 33 pelakon berdialog termasuk watak Moyang Salleh yang dibawa oleh Datuk Ahmad Tamimi Siregar selain 37 penari profesional serta menampilkan lebih 16 buah lagu yang digubah khas.


Lebih menarik lagi, Siti Salbiah berkata pementasan teater muzikal ini menggunakan 90 peratus loghat Negeri Sembilan kecuali bagi watak sultan, pembesar dan pengawal Johor sekali gus membawa penonton 'menyelami' setiap babak dengan berkesan.

-- BERNAMA

Commentaires


bottom of page