- newsatmy
Tengku Zafrul Jawab Isu Hutang Negara
27 Mei 2021
arissa
PUTRAJAYA: Menteri Kewangan, Yang Berhormat Mulia Senator Dato' Sri Tengku Zafrul membuat beberapa ulasan dan pencerahan tentang isu hutang negara yang dibangkitkan dalam 2-3 hari kebelakangan ini terutamanya dalam posting media sosial YB DS Najib Razak melalui satu video yang telah dimuat naik di dalam Facebook miliknya.
Beliau memaklumkan bahawa 1 Januari sehingga hari ini kesemua pinjaman kerajaan adalah berdasarkan perbelanjaan yang diluluskan di Parlimen sewaktu pembentangan belanjawan 2021.
"Tidak ada dana tambahan seperti yang didakwa, selain dari hasil kerajaan yang biasa dikutip, yang kini berkurangan kerana pandemik," katanya.
Beliau menegaskan bahawa kesemua pinjaman kerajaan setakat ini adalah berdasarkan perbelanjaan yang diluluskan di Parlimen sewaktu pembentangan Belanjawan 2021.
Kerajaan juga tidak pernah menggunakan Ordinan Darurat untuk meningkatkan atau menambah perbelanjaan melebihi had siling yang telah diluluskan oleh parlimen pada Ogos 2020.
Beliau juga turut memaklumkan bahawa pinjaman kerajaan setakat April 2021 berjumlah RM81.8 billion dan setakat bulan Mei yang masih belum habis ini adalah sekitar RM99.3 billion, bukan RM115.53 billion.
"Kita sentiasa bersifat telus dan transparent," katanya.
Kesemua data berkenaan kedudukan fiskal dan hutang negara diterbitkan melalui laman web MOF dan web statistik Bank Negara Malaysia.
Jumlah RM81.8 billion ini merangkumi RM31.6 billion bagi membiayai semula hutang terdahulu yang matang dan RM50.2 billion yang sememangnya digunakan untuk membiayai perbelanjaan pembangunan.
Dalam senarai pinjaman kerajaan yang dibentangkan oleh DS Najib, terdapat pinjaman kerajaan yang dibuat oleh Petronas dan Khazanah.
"Mereka meminjam untuk keperluan modal dan aliran tunai masing-masing. Itu hutang mereka, bukan hutang kerajaan persekutuan," tambah beliau.
Kerajaan sekarang tidak membuat pinjaman di luar Belanjawan tahunan (off-balance sheet), tidak seperti kerajaan terdahulu.
"Kita juga ada hutang legasi 1MDB, SRC, SSER berjumlah lebih RM42.3 billion,"
"Setakat ini, RM15.5 billion hutang 1MDB dan SRC sudah dibayar oleh kerajaan, tetapi masih ada baki hutang (merangkumi prinsipal dan faedah) berjumlah lebih RM42.3 billion,"
Bayangkan, jika jumlah hampir RM58 billion ini dapat digunakan, berapa ramai rakyat yang kita dapat bantu semasa pandemik ini?"
Baki hutang merangkumi prinsipal dan kupon/keuntungan/faedah bagi bon, Sukuk dan pinjaman berjangka adalah sebanyak RM39.8 billion bagi 1MDB dan RM2.57 billion bagi SRC.
"Bagaimana nak move-on kerana sebab perlu bayar berbillion-billion untuk pinjaman ini, kita tak dapat menggunakan dana ini untuk dibahagikan kepada rakyat semasa pandemik ini," katanya lagi.
Rakyat harus maklum bahawa kesemua pinjaman yang digunakan untuk membiayai program kerajaan direkodkan dalam penyata kewangan kerajaan serta akan diaudit.
Kesemua pengiraan, proses pinjaman dan sebagainya adalah mengikut amalan biasa kerajaan yang telah dipraktikkan di Malaysia sejak dulu lagi.
--PN Online
Comments