• newsatmy

Tenis Masters Monte Carlo: Djokovic tumbang, Nadal ke suku akhir

16 April 2021

NOVAK Djokovic mengakui bahawa dia bermain 'teruk' menentang Dan Evans di Masters Monte Carlo ketika Rafael Nadal mudah mara ke suku akhir.


Pemain nombor satu dunia, Djokovic, bermain dalam kejohanan pertama sejak memenangi Terbuka Australia buat kali kesembilan Februari lalu, mengalami kekalahan pertama bagi 2021 semalam.


Evans, yang tidak pernah mara ke suku akhir kejohanan Masters 1000, menang 6-4, 7-5.


Pemain Great Britain itu bakal bertemu David Goffin, yang mengejutkan pilihan kelima, Alexander Zverev 6-4, 7-6 (9-7).


"Sejujurnya, ini mungkin merupakan salah satu perlawanan dan persembahan terburuk saya yang saya ingat dalam beberapa tahun kebelakangan ini," kata Djokovic.


"Saya tidak mahu mengambil apa-apa daripada kemenangannya, tetapi daripada pihak saya, saya hanya berasa teruk di gelanggang secara keseluruhan. Tidak ada yang berjaya. Ini adalah salah satu hari itu."


"Jelas sekali, sangat berangin, sukar untuk bermain dalam keadaan seperti ini berdepan pemain seperti Evans yang membuat anda bergerak. Dia sukar diramal dengan pukulannya. Dia berjaya membongkar permainan saya."


Juara Monte Carlo 11 kali, Nadal tidak menghadapi masalah seperti itu ketika dia mudah mengatasi Grigor Dimitrov 6-1, 6-1 dalam 55 minit.


Nadal, yang mencatat rekod karier 14-1 menentang wakil Bulgaria itu, tidak menghadapi sebarang kesukaran berdepan lawannya itu.


Dimitrov kerap melakukan kesilapan di awal permainan hingga ketinggalan 4-0 dalam kedua-dua set.


"[Saya] bersimpati kepadanya. Dia bermain dalam perlawanan yang teruk. Itulah kebenarannya," kata pemain Sepanyol, Nadal. "Dia melakukan banyak kesalahan. Saya ada di sana. Saya melakukan perkara yang betul, tetapi memang benar bahawa hari ini lebih banyak kesalahannya daripada tenis saya yang bagus."


Nadal akan berdepan dengan Andrey Rublev setelah pemain Rusia itu melepasi Roberto Bautista-Agut 7-6 (7-2), 5-7, 6-3.


-Astro AWANI