Tentera India, China berundur dari kawasan dipertikaikan pada 12 Sep
NEW DELHI 10 sept: India dan China akan mula menarik balik tentera masing-masing di sepanjang sempadan yang dipertikaikan di sempadan barat Himalaya yang terpencil menjelang 12 September. Demikian menurut Kementerian Luar India pada Jumaat (9 Sep) selepas kebuntuan lebih dua tahun yang menyebabkan berlaku pertempuran maut. Persetujuan itu dibuat berikutan beberapa perbincangan antara pegawai kanan tentera dalam usaha New Delhi dan Beijing untuk mengelak ketegangan daripada memuncak antara dua gergasi Asia bersenjata nuklear itu, yang pernah berperang pada 1962 berhubung sempadan mereka. Pengunduran tentera itu turut disahkan China, menjelang mesyuarat di Uzbekistan minggu depan yang akan dihadiri Presiden China Xi Jinping dan Perdana Menteri India Narendra Modi. Tentera India dan China mula berundur dari kawasan Gogra-Hot Springs di Ladakh, barat Himalaya pada Khamis (8 Sep). Proses tersebut dijadual selesai menjelang awal minggu depan, menurut menteri luar India. "Kedua-dua pihak bersetuju untuk menghentikan kerahan ke kawasan ini secara bertahap-tahap, diselaraskan dan disahkan, agar tentera dari kedua-dua pihak dapat kembali ke kawasan masing-masing," kata jurucakap Kementerian Luar, Arindam Bagchi dalam satu kenyataan. Tambah beliau lagi, semua struktur sementara di kawasan tersebut yang dibangunkan kedua-dua tentera, akan diruntuhkan sepertimana yang tertera di dalam perjanjian tersebut. Meskipun butiran mengenai perjanjian terbaru itu belum didedahkan kepada awam, kedua-dua tentera mungkin akan mewujudkan zon penampan antara tentera mereka dan menghentikan rondaan di kawasan tersebut, kata seorang pakar pertahanan. "Ini adalah satu langkah positif," kata Rakesh Sharma, seorang leftenan jeneral India bersara yang berkhidmat di Ladakh. Sekurang-kurangnya 20 askar India dan empat askar China terkorban dalam pertempuran pada Jun 2020 dan susuli itu aturan zon penampan yang serupa dilaksanakan di kawasan lain di Ladakh. Namun, menurut Encik Sharma, tentera dari kedua-dua pihak masih berada dalam jarak yang dekat di sekurang-kurang satu tempat berdekatan dengan kawasan Demchok di Ladakh. India dan China berkongsi sempadan sepanjang 3,800 kilometer, di mana tentera masing-masing mematuhi protokol, yang sudah lama dikuatkuasakan, untuk menghindari penggunaan sebarang senjata api sepanjang sempadan de facto dikenali sebagai Garisan Kawalan Sebenar (LAC).
Sumber : Reuters/SS/ss
コメント