top of page
  • admin

Terengganu akan bangunkan ternakan ladang ayam di Setiu-DR Azman Ibrahim


KUALA LUMPUR 13 Jan: “Ini adalah telur tempatan dan bukan dari Tamil Nadu,” ujar Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim.


Menerusi hantaran di Facebook semalam, beliau berkata kerajaan negeri telah menyediakan tapak tanah untuk dibangunkan dengan ladang ternakan ayam penelur di Setiu.

“Pelabur yang berminat telah datang berbincang dengan kami dan membuat lawatan tapak,” katanya.


Menurutnya, lebih menarik pelabur yang berminat untuk membuka ladang ternakan ayam penelur di Terengganu juga telah memiliki ladang ayam pedaging di negeri itu.

“Insya-Allah tahun 2023 ada khabar gembira boleh dihadirkan untuk rakyat Terengganu,” katanya lagi.


Beliau berkata, sebagai langkah jangka pendek dan penyelesaian sementara, bermula dari pertengahan Disember 2022, FAMA Terengganu telah membawa masuk lebih 340,000 bekalan telur dari negeri lain ke negeri itu sebagai langkah bagi mengatasi isu kekurangan bekalan.


Dalam hantaran lain, Dr Azman menyatakan kerajaan negeri serius untuk bekerjasama dengan Kerajaan Pusat bagi pembangunan pertanian.


Sehubungan itu, beliau menyenaraikan peruntukan sektor pertanian dari kerajaan negeri bagi tahun 2023 yang disalurkan kepada jabatan dan agensi pusat.


Kerajaan negeri memperuntukan sehingga RM5 juta setahun kepada Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Terengganu bagi pelaksanaan Skim Bantuan Modal Tani sejak tahun 2020. LPP ialah sebuah agensi persekutuan.


Selain itu,Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) sebuah Jabatan Persekutuan di bawah MAFS menerima peruntukan jutaan ringgit setiap tahun daripada kerajaan negeri bagi pelbagai projek dan bantuan sektor perikanan. Tahun 2023 DOF menerima RM3.8 juta.


Manakala Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sebuah Jabatan bawah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menerima RM6.6 juta dari Kerajaan Negeri Terengganu tahun 2023.


Jabatan Pertanian (DOA) sebuah jabatan guna sama negeri dan persekutuan menerima peruntukan RM7 juta pada tahun 2023.


Jabatan Perkhidmatan Veterinar juga sebuah jabatan guna sama negeri dan persekutuan menerima RM4.24 juta daripada kerajaan negeri dan FAMA juga ada dibantu oleh kerajaan negeri.

bottom of page