top of page
  • newsatmy

'Tetap bahagia dalam kontroversi'


11 April 2021 KUALA LUMPUR: Biarpun dihimpit satu demi satu kontroversi, selebriti popular, Neelofa, 32, mengakui hubungannya dengan suami, Haris Ismail atau PU Riz, 26, tidak sesekali terjejas.

Malah, kata Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd Noor, dia bersyukur mempunyai seseorang suami yang boleh diajak berbincang dan memberikan nasihat.

"Keadaan memang agak tegang sejurus kami mendirikan rumah tangga, namun ia tidak sedikitpun memberikan kesan kepada kebahagiaan kami. Maksudnya, kami masih sepasukan dan sentiasa berbincang mengenai apa yang patut dilakukan.

"Alhamdulillah, saya bersyukur untuk bahagian ini. Sekarang, saya sentiasa ada seseorang yang mengingatkan dan menasihatkan perkara yang saya tidak nampak. "Suami berpesan jangan memanjangkan isu ini. Alhamdulillah, saya bersyukur diberikan pengalaman melalui semua ini dengan suami di sisi," katanya kepada BH Online.

Neelofa berkata, dia menjadikan apa yang berlaku sebagai pengajaran yang mematangkan. Dia tetap positif dengan apa sahaja komen yang dilontarkan. "Ada kala orang salah tafsir cara saya, tetapi ada hikmah daripada setiap apa yang berlaku. Macam manapun saya ambil yang baik sahaja dan kekal positif. "Saya akan sentiasa bergerak ke hadapan dan tidak terkesan dengan cakap orang. Dahulu saya lagi teruk kena kecam.

"Saya melalui pelbagai pengalaman dari tahun pertama menceburi bidang seni pada 2011. Apa yang orang tak kata mengenai saya? Saya percaya ini juga adalah proses pembelajaran dalam hidup," katanya. Neelofa melancarkan program Infaq Pertubuhan Kasih Neelofa dan memperkenalkan Iftar Box serta Food Box yang akan dilaksanakan sepanjang Ramadan ini.

Justeru, Neelofa berharap orang ramai tidak memanjangkan insiden perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) majlis perkahwinan dan isu merentas negeri pada kunjungannya ke Pulau Langkawi, baru-baru ini. Sebaliknya, raikan kedatangan Ramadan, minggu depan.

Tambah Neelofa, dia dan suami teruja mahu menyambut Ramadan pertama sebagai suami isteri.

"Kami teruja nak menyambut Ramadan bersama. Saya berharap, kami dapat menjadi pasangan dalam beribadah. Saya turut mendoakan supaya kita dapat menyambut bulan Ramadan dengan hati yang bersih," katanya.

Neelofa ditemui pada Ceramah Perdana Marhaban Ya Shahru Ramadan dan Pelancaran Program Infaq Pertubuhan Kasih Neelofa, di sebuah hotel di sini, semalam.

Majlis itu bagi memperkenalkan program Iftar Box dan Food Box yang akan dilaksanakan sepanjang Ramadan ini.

"Alhamdulillah, genap setahun Pertubuhan Kasih Neelofa ditubuhkan. Dan kami dapat menjayakan pelbagai program dari Ibadah Qurban sehingga Program Infaq sempena Ramadan ini.

"Kami cuba mempelbagaikan program supaya orang ramai lebih bersemangat untuk bersedekah dan menyalurkan bantuan menerusi pertubuhan ini.

"Sebelum ini, saya ada keraguan sama ada sampai atau tidak derma pada orang. Jadi, bagi menyampaikan perkara ini, saya terpaksa tunjuk program yang dijalankan supaya orang ramai lebih yakin menyalurkan bantuan.

"Jika saya senyap, orang fikir saya buat apa dengan duit mereka. Insya-Allah, semoga program ini dapat membantu mereka yang memerlukan terutamanya ketika pandemik COVID-19 ini," katanya.

Selain itu, lima program turut dilancarkan iaitu Infaq Yaman, Infaq Quran, Infaq Rehal, Infaq Kasih Ummah (Susu Nilofa) dan Program Qurban 2021.

-BH Online


bottom of page