top of page
  • newsatmy

TH Plantations catat untung bersih RM13.99 juta bagi tahun kewangan 2020

24 Mac 2021

KUALA LUMPUR: TH Plantations Bhd (THP) kembali mencatatkan keuntungan dengan meraih untung bersih RM13.99 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2020, berbanding kerugian bersih RM226.50 juta pada tahun sebelumnya.


Syarikat itu dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia berkata hasil kumpulan meningkat 12.45 peratus kepada RM555.10 juta daripada RM493.65 juta sebelumnya.


Peningkatan itu disumbang terutamanya daripada kuantiti jualan lebih tinggi dan purata harga direalisasi bagi minyak sawit mentah, isirung kelapa sawit dan tandan buah segar.


Bagi suku keempat tahun kewangan 2020, THP mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM1.59 juta manakala hasil sebanyak RM144.55 juta berbanding kerugian bersih RM167.65 juta dan hasil RM136.25 juta bagi tahun kewangan 2019.


Syarikat itu juga terus mencatatkan operasi yang lebih baik dengan merekodkan keuntungan operasi tinggi sebanyak 276.60 peratus berbanding tahun kewangan 2019.


Peningkatan itu disebabkan hasil yang lebih tinggi, perubahan harga persetujuan pembeli dan pembekal dalam perhutanan, kos jualan yang lebih rendah, penurunan yang lebih rendah dan keuntungan penjualan anak syarikat.


"Pelan pemulihan strategik kumpulan masih diteruskan yang akan menyediakan kedudukan kewangan yang lebih baik sebaik sahaja selesai kelak.


"THP turut menjangkakan harga pasaran semasa bagi produk minyak sawit tetap menguntungkan sepanjang suku akan datang berikutan pengeluaran yang lebih rendah, kekurangan tenaga kerja, serta paras inventori minyak sawit di yang rendah di Malaysia," katanya.


-- BERNAMA


bottom of page