• newsatmy

Tiada bukti sanitasi awam mencegah COVID-19 - Pakar kesihatan awam

12 April 2021

KUALA LUMPUR: Tiada bukti saintifik yang menunjukkan keberkesanan rutin operasi sanitasi awam untuk mencegah penularan COVID-19, walaupun masih giat dijalankan pihak berkuasa.


Menurut pakar kesihatan awam Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Malina Osman, rutin sanitasi awam hanya perlu dilakukan berdasarkan risiko di sesuatu kawasan.


“Dari segi kesihatan awam, kita tidak perlu buat rutin sanitasi awam,” katanya kepada Astro AWANI.


“Sanitasi tempat awam secara berkala tanpa kes yang dilaporkan juga tidak disyorkan kerana kegiatan itu tiada bukti saintifik.”


Sebagai contoh, jelas Dr Malina, jika berlaku kes positif di tempat kerja, proses sanitasi hanya digalakkan di kawasan sekitar seperti ruang kerja dan tandas yang dikongsi dengan rakan sekerja.


“Tidak perlu sanitasi satu bangunan atau laluan ke pejabat tersebut.”


Pada minggu lepas, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat memperbaharui garis panduan bagi proses disinfeksi dan pembersihan berdasarkan sains mengenai penyebaran virus.


Menurut CDC, bukti menunjukkan bahawa risiko jangkitan COVID-19 melalui kontak dengan permukaan adalah rendah.


Justeru, sekadar membersihkan permukaan dengan sabun atau bahan pencuci sudah memadai bagi mengurangkan risiko penyebaran COVID-19.


“Dalam kebanyakan kes, pengabutan (fogging), pengasapan dan semburan besar-besaran atau secara elektrostatik tidak disarankan sebagai kaedah utama untuk proses disinfeksi, serta mempunyai beberapa risiko keselamatan,” jelas Pengarah CDC Dr Rochelle Walensky.


Bagaimanapun, pihak berkuasa tetap akan meneruskan operasi sanitasi awam yang bermula sejak fasa awal penularan COVID-19 dalam negara.


Memetik laporan CodeBlue, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba memaklumkan bahawa “disinfeksi akan diteruskan”.


Sebanyak 20,748 operasi sanitasi yang merangkumi 154 zon telah dilakukan sejak 30 Mac 2020 melibatkan pusat perniagaan, kawasan perumahan, tempat awam, pasar raya dan bangunan kerajaan, menurut kenyataan Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam. -Astro AWANI