• newsatmy

Tiada masalah hubungan Pas-UMNO-Bersatu di Kedah

12 April 2021


PENDANG : Hubungan Pas, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di negeri Kedah kekal berada dalam keadaan yang sangat baik meskipun pelbagai isu yang timbul di peringkat nasional.


Timbalan Pesuruhjaya 3 Pas Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman menegaskan, semua pihak sewajarnya meletakkan kepentingan ummah sebagai teras utama dalam jalinan kerjasama membabitkan ketiga-tiga parti itu.


Tambah beliau, Pas Kedah juga mengharapkan hubungan yang terjalin membabitkan gabungan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) kekal utuh bukan sahaja dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) malah berkekalan buat selama-lamanya.


"Tak ada masalah, kita (semua jalinkan) hubungan macam biasa (dan sangat baik), saya menyeru supaya kita bersatu (serta) jangan bertelagah lagi, lama dah (kita bertelagah).


"Umur saya (pun) 64 (tahun) maknanya lebih daripada 64 tahun (kita) bertelagah, kita nampak satu kesesuaian pada masa ini (untuk) kita bersatu untuk membentuk satu masyarakat yang bersama membina negara, kita teruskanlah apa yang kita ada pada hari ini, insya-Allah, Allah akan merestui perjuangan kita," katanya ketika ditemui Astro AWANI selepas menghadiri Program Mendaya Komuniti dan Kempen Kesedaran 3R Peringkat DUN Tokai di Masjid As-Syakirin, Pendang pada Isnin.


Dalam perkembangan sama, beliau menyatakan bahawa soal strategi membabit pembahagian kerusi antara Pas-UMNO-Bersatu di negeri itu hanya akan diputuskan di peringkat Pas Pusat.


Pada Ahad, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyatakan bahawa Pas tidak akan mendedahkan kepada umum berkaitan strategi yang akan digunakan parti itu dalam menghadapi PRU15 terutama melibatkan soal pembahagian kerusi.


Tambah beliau, ketika ini masih terlalu awal untuk membincangkan mengenai perkara berkenaan terutama di peringkat parti dan rakan kompenen memandangkan tempoh tamat penggal kali ini adalah pada tahun 2023. -Astro AWANI