top of page
  • newsatmy

Tiada niat rahsiakan pernikahan - Zee Avi

28 NOVEMBER 2021

KUALA LUMPUR: Penyanyi kelahiran Sarawak yang mencipta nama di Amerika Syarikat, Zee Avi mendedahkan dia tidak pernah berniat merahsiakan perkahwinannya dengan lelaki Jepun, Kenji Matano.


Sebaliknya, kata Zee, dia merancang berkongsi berita baik itu selepas selesai sesi fotografi perkahwinan.


Bagaimanapun, situasi itu berubah apabila foto majlis perkahwinannya terlebih dahulu tular di media sosial.


"Kami mahu tunggu gambar rasmi dan edarkan kepada media. Itulah sebab kami panggil jurugambar.


"Tapi ketika saya masih lagi memakai baju pernikahan, saya perasan berita mengenai pernikahan saya sudah tular. Mujur maklum balas yang diterima, positif.


"Disebabkan itu, saya memutuskan untuk berkongsi perkara ini dengan media. Bagi saya, apabila sudah sah, barulah saya mahu bercerita," katanya dalam sidang media secara virtual, pada Jumaat.


Zee atau nama sebenarnya, Izyan Alirahman dan Kenji dinikahkan di sebuah masjid di Ampang, Selangor pada Isnin lalu.


Bercerita lanjut, kata Zee, dia mengenali suaminya yang bekerja di sebuah syarikat teknologi maklumat (IT) sejak tiga tahun lalu.


"Dia seorang yang baik hati, memahami, tenang dan penyabar. Sifat ini bagus untuk seseorang seperti saya kerana personaliti kami agak berbeza.


"Dia faham gaya hidup saya dan sentiasa menyokong dalam apa juga keadaan. Dia sahabat yang sentiasa di sisi.


"Disebabkan itulah, saya yakin dia lelaki terbaik bagi saya," ujarnya lagi.


Dalam perkembangan lain, Zee memaklumkan, dia bakal tampil dengan single baharu tidak lama.


"Video muzik single itu sudah siap. Sekarang sedang tunggu keputusan syarikat pengurusan mengenai strategi melancarkannya.


"Saya harap lagu ini dapat diperdengarkan kepada peminat tidak lama lagi," katanya.

bottom of page