• newsatmy

Tiada parti politik boleh bentuk kerajaan majoriti - Anthony Loke

14 April 2021

KUALA LUMPUR: Semua parti politik perlu sedar tiada sesiapa boleh membentuk kerajaan secara majoriti dan pentadbiran sendiri.


Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke berkata, senario itu termasuk dinamika konsep 'Khemah Besar' Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang terbuka untuk dibincangkan semua parti.


Dalam konteks berkenaan, Anthony mengakui, parti secara DAP bersendirian juga tidak boleh menubuhkan kerajaan dan itu merupakan fakta dan hakikat.


"Dalam konteks di Malaysia, mana-mana parti yang berharap boleh menjadi mainstream dalam politik negara, boleh membentuk kerajaan, maka perlu ada kerjasama.


"Jadi itu satu persoalan, kalau kita boleh meyakinkan lebih 50 peratus rakyat menyokong kita, sudah tentu ia idea kita boleh membentuk kerajaan, secara kerjasama tiga parti dalam Pakatan Harapan (PH).


"Tetapi kalau itu tidak boleh, maka kita perlu mendapatkan sokongan dari lain, maka timbullah pendekatan bahawa kita sepatutnya menjadi satu 'Khemah Besar', satu gabungan besar yang boleh menerima dan bekerjasama dengan parti-parti lain tetapi dengan syarat bahawa dia mesti mendokong prinsip dan agenda yang sama," katanya semasa program Bicara Tokoh Majlis Profesor Negara pada Selasa.


Felo Penyelidik Majlis Profesor Negara (MPN), Dr Muhammad Asri Mohd Ali menjadi moderator untuk program berkenaan.


Dalam pada itu, katanya, DAP melihat keutamaan melawan rasuah serta bertindak adil dari segi sosio ekonomi dalam sesuatu prinsip pentadbiran kerajaan baik.


Ujarnya, ia prinsip dan konsep yang akhirnya akan memberikan manfaat dan perlindungan kepada orang miskin yang majoritinya Melayu.


Majlis Presiden PH sebelum ini mengambil pendekatan 'Khemah besar' bagi menyatupadukan rakyat tanpa mengira pegangan politik mereka bagi memulihkan demokrasi negara.


- Astro Awani