top of page
  • newsatmy

Tikam belakang Ahmad Faizal bermula hampir dua bulan lalu


Seorang ahli parlimen Umno mengakui yang usaha mengetepikan Ahmad Faizal Azumu daripada jawatan menteri besar Perak bermula kira-kira dua bulan lalu.


Nazri Aziz berkata, ia dimulakan selepas Ahmad Faizal melantik Adun Pengkalan Hulu, Aznel Ibrahim, sebagai setiausaha politiknya tanpa berunding terlebih dulu dengan Umno.


Cakap-cakap orang politik telahpun tersebar sebelum berlakunya undi percaya dan ramai berpendapat ia ada kena-mengena dengan aktiviti tawar-menawar di peringkat pusat. Walau bagaimana pun, Nazri menafikan spekulasi yang tersebar luas terutamanya sumber spekulasi yang mengatakan bahawa gerakan mengetepikan Ahmad Faizal dibuat sebagai 'balasan' apa yang berlaku di Sabah apabila pemimpin Bersatu dilantik menjadi ketua menteri.


Situasi di dalam DUN Sabah pula, Umno mempunyai 14 kerusi manakala Bersatu 11. Namun dengan gabungan Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dalam PN, gabungan itu menguasai 17 kerusi.


Umno memang dari awal-awal lagi menyasarkan jawatan ketua menteri namun akhirnya kerusi tersebut diserahkan kepada Bersatu.


Sementara itu, seorang exco kanan menganggap usaha menukar pemimpin kerajaan yang berlaku dalam dewan undangan negeri hari ini adalah suatu "penderhakaan dan pengkhianatan".


Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Perak, Razman Zakaria, berkata sebelum ini Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu sanggup meninggalkan kerusi yang dipegangnya dalam Pakatan Harapan (PH) untuk bersama-sama parti lain membentuk kerajaan yang stabil.


Razman yang juga pesuruhjaya PAS Perak dan Adun Gunung Semanggol menambah ketika kerajaan dan negara berdepan ancaman Covid-19, perlu ada kesungguhan untuk menangani pelbagai masalah yang timbul termasuk pengangguran.


Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu pula, menyampaikan penghargaan khusus kepada Pakatan Harapan (PH) selepas gagal dalam undi percaya dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.


“Saya ucapkan terima kasih kepada semua barisan ahli-ahli dewan undangan negeri.


“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada rakan rakan seperjuangan saya dalam kerajaan Pakatan Harapan.


“I miss you guys sometimes actually, seriously,” katanya dalam ucapannya yang mungkin terakhir sebagai menteri besar.


bottom of page