• newsatmy

Tindakan BN tarik balik sokongan pada PN ibarat gali kubur sendiri

Astro Awani



Tindakan Barisan Nasional (BN) yang bertindak menarik sokongan dalam Perikatan Nasional (PN) ibarat menggali kubur sendiri.


Pensyarah Pengajian Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM, Mujibu Abd Muis berkata, ini kerana, perkara itu tidak boleh dilihat di peringkat Persekutuan semata-mata, malah perlu dinilai secara menyeluruh termasuk di peringkat negeri.


"BN tidak boleh melihat dalam konteks di peringkat Persekutuan dan perlu dilihat di negeri yang mana ada beberapa negeri dikuasai oleh PN seperti di Johor, Perak, Kedah, Melaka dan Sabah.


"Jika penarikan itu dibuat, sudah pasti ia akan turut menjejaskan negeri berkenaan," katanya dalam temubual menerusi Buletin AWANI Khas di sini pada Selasa.


Beliau mengulas tindakan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz secara rasmi hari ini mengumumkan beliau menarik balik sokongan ke atas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Sebelum ini, Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub juga mengambil pendirian yang sama dengan Mohamed Nazri.


Ahmad Jazlan yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan turut melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bagi menzahirkan prinsip tidak mahu berkerjasama dengan kerajaan PN.


Dalam pada itu, Mujibu menjangkakan negara berdepan dengan pertentangan politik khususnya membabitkan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas tamat tempoh proklamasi darurat pada 1 Ogos depan.


"Ketika ini, kerajaan bagaimanapun masih berfungsi seperti biasa dalam tempoh darurat ini," ujarnya.