• newsatmy

Tindakan Finas tolak permohonan geran Afdlin bermotif politik - Anwar Ibrahim

4 Mei 2021

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menolak permohonan geran oleh pengarah filem, Datuk Afdlin Shauki sebagai bermotifkan politik.


Beliau dalam satu kenyataan di Facebook malam ini menuntut permohonan itu dikaji semula supaya industri perfileman tempatan kekal terbela.

“Penolakan permohonan geran saudara Afdlin Shauki oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) amatlah mendukacitakan.


“Penolakan ini bermotifkan politik dan alasan yang diberikan Finas bagi menafikan dakwaan tersebut amat cetek dan dangkal sama sekali.


“Meski orang yang bertanggungjawab mengemudi Finas saat ini adalah orang politik, saya yakin isu ini dapat dilihat dan diurus tanpa pengaruh dan kecenderungan politik,” dakwanya pada Isnin.


Memetik laporan Free Malaysia Today, Pengerusi Finas, Zakaria Abdul Hamid sebelum ini dilaporkan berkata, penolakan permohonan Afdlin itu sama sekali tidak membabitkan unsur pilih kasih atau sentimen perkauman dan kecenderungan politik.


Pada 13 Dis 2020, Zakaria yang juga bekas ahli PKR, mengumumkan penyertaannya dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersama 300 ahli Penggerak Komuniti Negara.


Pada Ahad, Afdlin dilaporkan berkata, tidak terkejut permohonan gerannya untuk penerbitan filem “Angel of Sandakan” ditolak kerana beliau menyuarakan sokongan kepada PKR baru-baru ini.


Afdlin yang menyertai PKR pada 31 Mac lalu berkata, projek penerbitan filem itu bertujuan memenuhi aspirasi kerajaan untuk mendapat pencalonan atau memenangi Anugerah Academy atau Oscars.

-Astro Awani