top of page
  • admin

Tindakan lebih tegas tangani krisis di Myanmar-Saifuddin


PETALING JAYA,20 Sept: Menteri Luar, Saifuddin Abdullah bersama ahli parlimen dari Eropah, Asia, dan ahli Kerajaan Perpaduan Nasional Myanmar (NUG) menggesa masyarakat dunia mengambil tindakan tegas bagi menyelesaikan krisis di Myanmar yang tercetus daripada rampasan kuasa tentera tahun lalu.


Saifuddin menganjurkan mesyuarat mengenai Myanmar di Misi Tetap Malaysia ke PBB di New York semalam, bersempena Persidangan PBB yang berlangsung minggu ini.


“Harus ada rundingan yang inklusif dan adil dengan semua pihak berkepentingan di Myanmar termasuk NUG dan Majlis Perunding Perpaduan Nasional Myanmar (NUCC).

“Selepas itu satu rangka kerja dengan matlamat jelas termasuk mengembalikan demokrasi di Myanmar perlu diwujudkan,” kata Ahli Parlimen Asean untuk Hak Asasi Manusia (APHR) yang memetik Saifuddin.


Katanya, Saifuddin satu-satunya menteri Asean yang secara terbuka berjumpa anggota NUC, “kerajaan yang sah di Myanmar yang melambangkan aspirasi demokrasi rakyat negara itu”.

Mesyuarat itu turut dihadiri menteri NUG untuk hak asasi manusia, U Aung Myo Min; menteri komunikasi, informasi dan teknologi, yang juga jurucakap NUG, U Htin Linn Aung; wakil tetap Myanmar ke PBB, Kyaw Moe Tun; dan beberapa wakil pertubuhan pro-demokrasi.


Turut hadir, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dan Pengerusi APHR, Heidi Hautala, Timbalan Presiden Parlimen Eropah dan Pengerusi Siasatan Parlimen Antarabangsa (IPI) mengenai tindak balas dunia terhadap krisis di Myanmar, Mercy Chriesty Barends, anggota Dewan Perwakilan Indonesia dan bekas anggota kongres Filipina, Tom Villarin.

Sejak rampasan kuasa pada 1 Feb 2021, Myanmar terjerumus dalam krisis ketika ketua junta, Min Aung Hlaing, terus mengukuhkan kuasanya.


“Selepas 19 bulan rampasan kuasa, sekutu antarabangsa junta menunjukkan komitmen untuk menyokong Hlaing mengatasi negara yang mendakwa menyokong gerakan pro-demokrasi,” kata Santiago.


“Secara mudahnya, negara ini tidak bertindak dengan berkesan untuk menyokong rakyat Myanmar berbanding negara seperti Rusia atau China yang aktif menyokong, melibat urus dengan junta sekaligus memberi pengiktirafan yang amat dikehendakinya.


“Sudah masanya kerajaan yang mendakwa menyokong demokrasi di Myanmar untuk bertindak lebih keras,” tegasnya.

bottom of page