top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Tindakan Tengku Azlan keluar parti tiada kesan kepada BERSATU Pahang

11 Ogos 2021

PAHANG: Timbalan Ketua BERSATU Pahang, Lt Kol (PA) Mohd Yazid Mohd Yunus berkata tindakan keluar parti merupakan perkara normal dalam politik dan keputusan yang dibuat perlu dihormati.


Ini susulan Ketua Bahagian BERSATU Temerloh, Tan Sri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar meletak jawatan daripada parti berkenaan serta-merta dan mengumumkan kembali ke pangkuan UMNO, pada Isnin.

Mohd Yazid, yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU berkata keputusan Tengku Azlan keluar daripada parti itu tidak memberi kesan kepada kepimpinan BERSATU Pahang.


“Tengku Azlan telah menyerahkan surat peletakan jawatan dalam parti itu pada Isnin.


“Ia adalah lumrah, normal, keluar dan masuk parti.


“Mungkin mereka nak berehat atau iklim politik sudah berubah.


“Ketiadaan beliau tidak memberikan kesan ketara kerana beliau tidak menjawat sebarang jawatan di peringkat negeri kecuali di bahagian,” katanya kepada Sinar Harian, pada Selasa.


Beberapa media melaporkan bekas Ahli Parlimen Jerantut itu menyerahkan borang permohonannya melalui UMNO Bahagian Paya Besar kepada Pengerusi UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.


Mengulas lanjut, Tengku Azlan berkata perjuangan parti itu masih relevan dan tidak perlu bimbang dengan situasi tersebut.


“BERSATU Pahang akan terus bekerja seperti biasa untuk memastikan nasib rakyat terbela,” ujarnya lagi.



--PN Online

bottom of page