top of page
  • newsatmy

Tingkat jumlah masa pengajaran BM di SJK, silibus BM di semua sekolah harus selaras


Armada BERSATU menolak sekeras-kerasnya perbezaan silibus, masa pengajaran serta kertas peperiksaan bagi subjek Bahasa Melayu antara Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) seperti yang dituntut oleh Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong).


Kami berpendapat, alasan yang diberi melalui kenyataan yang dibuat pada 8 Januari 2023 oleh Jiao Zong untuk membantah penggunaan bank soalan yang sama untuk subjek Bahasa Melayu bagi SK danjuga SJK adalah tidak munasabah.


Antara alasan yang diberikan Jiao Zong adalah penggunaan soalan dari bank soalan yang sama untuk Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) bagi semua aliran sekolah adalah bertentangan dengan prinsippendidikan. Jiao Zong juga berkata, selain silibus, jumlah masa pengajaran Bahasa Melayu juga berlainan antara SK dan SJK serta bahasa itu merupakan bahasa ibunda murid Melayu.


Armada BERSATU ingin menegaskan bahawa Bahasa Melayu bukan sahaja merupakan Bahasa ibunda murid Melayu, tetapi juga merupakan Bahasa Kebangsaan negara ini. Jiao Zong seharusnya memahami bahawa proses pendidikan negara turut merangkumi usaha menyatupadukan rakyat yang berbilang kaum dan agama melalui penggunaan Bahasa Kebangsaan yang betul dan meluas.


Justeru itu, Armada BERSATU menyeru agar jumlah masa pengajaran Bahasa Melayu di SJK ditingkatkan serta silibus Bahasa Melayu di SJK diselaraskan. Ini bakal melahirkan lebih ramai pelajar SJK yang menguasai Bahasa Melayu dengan baik dan fasih justeru mengukuhkan usaha menjayakan perpaduan nasional.


Akhir sekali, Armada BERSATU berharap pihak Kementerian Pendidikan tidak tunduk dengan tekanan Jiao Zong serta kekal teguh dengan dasar menggunakan satu kurikulum dan sukatan pelajaran untuksemua subjek, khususnya subjek yang berunsur pembentukan negara bangsa.

bottom of page