top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

TM raih Anugerah Jenama Majikan Terbaik Asia buat kali ke-2

2 NOVEMBER 2021

Acara ini mengumpulkan para pemimpin dan profesional sumber manusia dari seluruh rantau Asia untuk membincangkan dan mengenalpasti amalan terbaik dalam bidang sumber manusia.


Ketua Pegawai Modal Insan TM, Sariah Abu Bakar berkata, anugerah ini adalah bukti komitmen dan usaha kumpulan dalam melakukan perkara paling penting dan memberi kesan langsung kepada perniagaan dan pembangunan modal insan.


Katanya, TM sedar bahawa sumber manusia adalah tonggak strategik dalam memacu hasil perniagaan.


"Sebagai sebahagian daripada transformasi ‘New TM’, kami baru-baru ini telah memperkenalkan budaya prestasi baharu untuk membentuk semula tenaga kerja kami menjadi enjin pelaksanaan yang lebih kukuh yang berkhidmat dan berubah dengan cara kerja tangkas.


"Kami terus fokus terhadap mempersiap organisasi kami untuk masa depan, melabur dalam kemahiran sedia masa hadapan untuk bidang pertumbuhan baharu yang akan melonjakkan prestasi perniagaan kami ke tahap seterusnya," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut beliau, ia adalah sejajar dengan komitmen berterusan TM ke arah meningkatkan dan melatih semula tenaga kerja dengan kecekapan digital untuk memacu Digital Malaysia.


"Jadi anugerah ini merupakan satu penghormatan kepada lebih 22,000 orang anggota kami yang berdedikasi dalam menjadikan TM sebagai salah satu majikan terbaik di Asia," tambahnya.


Dalam situasi yang mencabar ketika pandemik COVID- 19, TM telah melaksanakan polisi dan inisiatif demi keselamatan dan kesihatan tenaga kerja termasuklah aplikasi digital seperti COVID-19@TM dan alatan digital.


Ini membolehkan tenaga kerjanya berdaya tahan dan produktif dalam memberikan perkhidmatan sambungan kepada pelanggan dan masyarakat keseluruhannya supaya rakyat Malaysia kekal terhubung dan produktif.



*Berita asal di DagangNews.com

bottom of page