top of page
  • newsatmy

TNB rancang pelaburan modal RM20 bilion setahun pacu pelan peralihan tenaga

KUALA LUMPUR,18 Ogos

Tenaga Nasional Bhd (TNB) akan melabur kira-kira RM20 bilion setahun dalam tempoh 28 tahun akan datang sebagai perbelanjaan modal (CAPEX) dalam inisiatif mempercepatkan pelan peralihan tenaganya sempena aspirasi mencapai pelepasan sifar karbon menjelang 2050.


Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Ir Baharin Din berkata pelaburan tersebut akan membuka jalan kepada TNB melakar perjalanan mencapai aspirasi sifar bersihnya dan mencipta peluang meraih lebih dua kali ganda perolehan sebelum cukai dan faedah (EBIT).


"Perjalanan peralihan tenaga bertanggungjawab ini akan membawa pertumbuhan perniagaan yang positif kepada kumpulan, sambil kami mempercepatkan usaha untuk menyahkarbon," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Baharin menambah kumpulan akan terus melabur dalam Grid Masa Hadapan dan TNB bakal mengembangkan aset kawal selia itu kepada RM100 bilion menjelang 2050

Katanya kumpulan juga akan terus membangunkan kesalinghubungan grid serantau yang akan membolehkan pengagihan sumber tenaga boleh baharu (RE) dengan lebih meluas, sekali gus membantu menyahkarbon sistem tenaga ASEAN selain mengukuhkan keselamatan bekalan.


Grid ini akan memberikan kumpulan potensi pendapatan sebanyak RM7 bilion menjelang 2050, katanya.

"Melalui Grid Tenaga ASEAN (ASEAN Power Grid) yang kukuh, saling hubung dan berdaya tahan, negara-negara ASEAN boleh memindahkan lebihan tenaga daripada satu kawasan penjanaan kepada kawasan yang mengalami kekurangan bekalan.

"Ia akan membolehkan rantau ini menyatukan pelbagai profil sumber bekalan tenaga boleh baharu yang berbeza-beza, sekali gus memudahkan langkah penyahkarbonan sistem tenaga ASEAN," jelas beliau.


Selain memperkasa Grid Nasional, Baharin berkata TNB sedang mengambil tiga inisiatif lagi untuk menyegerakan agenda kemampanannya - melibatkan anak syarikat milik penuhnya iaitu TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) serta New Energy Division (NED) TNB dan bidang kenderaan elektrik (EV).


Mengenai TNB Genco, beliau berkata pecutan pelan penyahkarbonan TNB akan meningkatkan nilai perusahaan Genco untuk membolehkan pelaksanaan Tawaran Awam Permulaan (IPO).

"TNB Genco menyasarkan untuk memperoleh anggaran pendapatan RM40 bilion daripada pasaran penjanaan domestik menjelang 2050," jelas beliau.

Selain itu, TNB sedang meneroka projek gas dan kuasa hidro di ASEAN dengan sasaran kira-kira 800 megawatt (MW) menjelang 2050.


Sementara dalam mengembangkan portfolio tenaga boleh baharu, beliau berkata NED menyasarkan kapasiti 14.3 gigawatt (GW) menjelang 2050 dengan anggaran pelaburan ekuiti US$7 bilion (US$1=RM4.46).


Strategi NED adalah untuk meningkatkan pelaburan dalam solar berskala besar serta angin darat dan luar pesisir, dengan tumpuan dalam pasaran sedia ada di Malaysia dan United Kingdom serta pasaran baharu di Sepanyol, Ireland, Perancis, Thailand, Filipina, Vietnam, Australia, Taiwan dan Korea.


Berkenaan kenderaan elektrik (EV) pula, Baharin berkata tumpuan TNB adalah pada membangunkan ekosistem EV sebagai sebahagian daripada usaha untuk membawa pengguna sepanjang perjalanan peralihan tenaga.

"Kami komited untuk melabur RM90 juta dalam tempoh tiga tahun akan datang untuk memacu penggunaan EV, mencapai 500,000 kereta menjelang 2030 yang akan menyumbang RM1.25 bilion hasil elektrik setahun," ujar beliau.

-- BERNAMA

bottom of page