top of page
  • newsatmy

Tokyo 2020: Zii Jia, Nur Shazrin, Jinq En 'penyelamat' aksi hari ketiga atlet Malaysia

26 Julai 2021

Pemain perseorangan utama negara, Lee Zii Jia, atlet pelayaran wanita Nur Shazrin Mohamad Latif dan perenang Phee Jinq En, menceriakan kem negara, pada ketika beberapa atlet Malaysia lain mempamerkan aksi mengecewakan, pada hari ketiga Sukan Olimpik Tokyo 2020, pada Ahad.


Prestasi cemerlang Zii Jia itu, yang membuat penampilan pertama di pentas Olimpik sekali gus menyelamatkan suasana suram kem badminton, selepas dua lagi wakil negara dalam acara berkenaan tumpas kepada lawan masing-masing semalam.


Pemain berusia 23 tahun itu tidak berdepan masalah untuk melakar kemenangan pertama dalam masa 25 minit, apabila menumpaskan Artem Pochtarov dari Ukraine 21-5, 21-11 pada aksi pembukaan Kumpulan M di Musashino Forest Sport Plaza.


Namun, juara All England 2021 itu dijangka berdepan tugas mencabar apabila turun menentang bintang Perancis Brice Leverdez, untuk aksi terakhir peringkat kumpulan yang dijadual berlangsung, Rabu ini.


Dalam pada itu, harapan kontinjen negara kepada beregu campuran utama negara Chan Peng Soon-Goh Liu Ying untuk menyumbangkan pingat pada Sukan Olimpik Tokyo musnah, selepas pasangan itu mengalami kekalahan kedua berturut-turut dalam saingan peringkat kumpulan, semalam.


Turun beraksi dalam misi wajib menang, segalanya tidak menjadi buat pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu, apabila tumpas 12-21, 15-21 kepada pasangan Jerman Mark Lamfuss-Isabel Herttrich, sekali gus menyaksikan mereka gagal mara ke pusingan kalah mati.


Peng Soon-Liu Ying, bagaimanapun akan melengkapkan saingan Kumpulan D menentang pasangan nombor dua dunia Wang Yilyu-Huang Dongping dari China, hari ini.


Cabaran beregu wanita negara, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean pada temasya sukan berkenaan juga berakhir, selepas tewas dua kali berturut-turut dalam aksi Kumpulan A, malam tadi.


Mei Kuan-Meng Yean terpaksa akur dengan kehebatan pasangan nombor satu dunia dari Jepun, Sayaka Hirota-Yuki Fukushima apabila tumpas dalam pertarungan tiga set 21-17, 15-21 dan 8-21.


Gandingan Malaysia itu dijadual bertemu beregu Great Britain, Chloe Birch-Lauren Smith bagi melengkapkan aksi Kumpulan A.


Dalam pada itu, Nur Shazrin meraih keputusan memuaskan dalam dua perlumbaan pertama acara Laser Radial Wanita yang berlangsung di Enoshima Yacht Harbour di Bandar Fujisawa.


Selepas dua perlumbaan, pemenang pingat gangsa Sukan Asia 2018 itu menduduki tempat ke-11 secara keseluruhan daripada 44 pelayar, dengan baki lapan perlumbaan perlu ditempuh, termasuk dua saingan akan berlangsung hari ini.


Saingan Laser Standard Lelaki pula menyaksikan Khairulnizam Mohd Afendy berada di kedudukan ke-26 daripada keseluruhan 35 pelayar selepas perlumbaan pertama, dengan baki sembilan perlumbaan, manakala perlumbaan kedua yang dijadual semalam ditangguh ke hari ini susulan keadaan angin.


Suasana kem renang negara pula mengalami dua situasi berbeza bagi perenang kebangsaan Phee Jinq En dan Welson Sim Wee Sheng di Pusat Akuatik Tokyo.


Jinq En yang menamatkan saingan di tempat kedua dalam saringan dua acara 100m kuak dada wanita di Pusat Akuatik Tokyo, dengan catatan masa 1:08.40, sedikit ceria kerana berjaya catatan itu memperbaharui rekod kebangsaan 1:08.50 yang dicatatkannya sebelum ini, ketika memenangi pingat emas Sukan SEA Manila 2019.


Namun catatan masa tersebut tidak cukup pantas untuk meletakkannya dalam kedudukan 16 perenang terbaik dan layak ke ke peringkat separuh akhir yang akan diadakan pada Isnin (26 Julai).


Atlet berusia 23 tahun itu, menamatkan saingan di tempat ke-29 daripada keseluruhan 43 peserta.


Sementara, Welson terpaksa melupakan Olimpik Tokyo lebih awal apabila sekali lagi gagal menyerlah dalam saingan 200m gaya bebas lelaki, selepas mencatat 1:49.24s untuk menduduki tempat ketujuh dalam saringan dua.


Perenang berusia 24 tahun dari Sarawak itu menduduki tempat ke-32 daripada 39 peserta keseluruhan. Pada Sabtu, Welson gagal melayakkan diri ke peringkat akhir acara 400m gaya bebas lelaki selepas mencatatkan 3:58.25s untuk menduduki tangga ke-33 daripada 36 perenang keseluruhan.


Ratu gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi juga gagal menyerlah dalam acara all-around individu apabila menamatkan saingan di tempat ke-68 daripada 85 peserta dalam acara yang berlangsung di Pusat Gimnastik Ariake.


Gimnas berusia 27 tahun dari Selangor itu sekadar mengutip keseluruhan 48.565 mata, selepas melengkapkan empat rutin wajib.


Sementara itu, atlet Malaysia yang akan turut beraksi hari ini adalah pasangan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang akan berdepan pasangan ranking kedua dunia Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia.


-- BERNAMA

bottom of page