• newsatmy

Trak Vaksin Bergerak mampu beri 15,000 suntikan sehari

7 Jun 2021

KUALA LUMPUR: Inisiatif Trak Vaksin Bergerak yang akan dilaksanakan Kementerian Wilayah Persekutuan bermula 15 Jun ini, berupaya memberi suntikan vaksin COVID-19 antara 15,000 hingga 20,000 dos sehari kepada warga Wilayah Persekutuan.


Ia antara empat langkah yang sedang dan akan dilaksanakan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bagi memastikan Wilayah Persekutuan mencapai imuniti kelompok lebih awal, iaitu menjelang akhir Ogos atau awal September ini.


Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, berkata sebanyak 40 Trak Vaksin Bergerak yang memenuhi kriteria sebagai klinik bergerak akan ke kawasan sasar termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR), Perumahan Awam (PA) dan kampung tradisi.


Beliau berkata, trak itu juga akan memberi tumpuan kepada kawasan industri dan lokasi majikan mempunyai ramai pekerja.


"Esok kita akan mulakan projek rintis membabitkan prosedur operasi standard (SOP) susun atur supaya dapat dimurnikan bagi memastikan kadar kecepatan yang boleh dilakukan dari segi vaksinasi dan perkara berkaitan.


"Projek rintis akan dilakukan di kawasan perumahan, manakala yang kedua di tapak binaan.


"Melalui langkah ini, kita harap dapat membentuk SOP yang baik, selamat, berkesan dan paling penting, melipat gandakan proses vaksinasi," katanya menerusi laman Facebook, hari ini.


Untuk fasa pertama, Annuar berkata, sebanyak 10 Trak Vaksin Bergerak akan berfungsi dan akan ditambah sehingga September ini.


Beliau memaklumkan, usaha lain bagi meningkatkan kadar vaksinasi di Wilayah Persekutuan untuk mencapai sasaran 40,000 hingga 50,000 suntikan dos sehari berbanding 7,000 ke 10,000 suntikan dos ketika ini adalah melalui peningkatan kapasiti Pusat Pemberian Vaksin (PPV) oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV).


"Saya sudah meminta Pengarah Kesihatan Wilayah Persekutuan meneruskan kempen membabitkan klinik dan hospital swasta secara lebih meluas dalam program vaksinasi, yang mana sehingga semalam, sebanyak 360 kinik dan 19 hospital swasta sudah berdaftar, dengan sebahagian besarnya sudah mendapat kelulusan.


"Dengan pembabitan klinik dan hospital swasta ini, saya percaya kita akan dapat menambah jumlah suntikan sehingga 15,000 dos sehari.


"Selain itu, Unit Bergerak daripada Kementerian Kesihatan (KKM) juga akan pergi ke kelompok terpencil seperti rumah orang tua, orang kelainan upaya (OKU) dan kawasan kecil lain," katanya.


Annuar memaklumkan, semua usaha yang dilaksanakan itu akan dipantau dan diselaraskan Pusat Penyelarasan dan Pengurusan COVID-19 (CCMC), entiti yang dinaik taraf daripada Pusat Pengurusan Krisis (CMC) yang diwujudkan Kementerian Wilayah Persekutuan sejak COVID-19 melanda negara pada Mac tahun lalu.


Berbanding CMC yang tertumpu kepada menerima laporan kes dan tindakan penguatkuasaan serta susulan, beliau berkata, CCMC yang beroperasi di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Cheras bermula minggu depan akan menjadi pusat sehenti bagi memastikan keberkesanan usaha membendung COVID-19 dan program vaksinasi di Wilayah Persekutuan.


"Dengan semua usaha ini, kita berharap menjelang suku ketiga tahun ini, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan menjadi zon selamat untuk pergerakan dan segala aktiviti berjalan seperti biasa," katanya.


-BH