• newsatmy

Trend jenayah menurun, tapi kesalahan seksual kanak-kanak, keganasan rumah tangga meningkat

4 Mei 2021

KUALA LUMPUR: Walaupun trend jenayah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik COVID-19 menunjukkan penurunan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan peningkatan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata selain itu, peningkatan turut dikesan membabitkan kesalahan bukan fizikal seperti pornografi serta kelucahan audio dan visual.


"Di sebalik penurunan (kadar dan trend jenayah), ada kategori tertentu menunjukkan peningkatan, contohnya kesalahan seksual terhadap kanak-kanak, kesalahan bukan physical contact seperti buat capaian pornografi, amang seksual seperti perkataan... menunjukkan isyarat lucah dalam bentuk audio dan visual.


"Punca peningkatan jenayah tersebut adalah disebabkan faktor penggunaan media sosial yang luas (dalam tempoh PKP)," katanya ketika menjadi tetamu dalam rancangan Ruang Bicara PDRM di Bernama TV, malam tadi.


Dalam pada itu, Huzir turut mendedahkan, kes keganasan rumah tangga juga meningkat sebanyak sembilan peratus atau 606 kes sepanjang tempoh PKP.


"Kes dapat dilihat, awal tahun 2021 iaitu Januari-Mac, peningkatan begitu ketara sekali, sebanyak 630 kes sebulan... sebelum ini hanya 400 kes sahaja.


"Peningkatan ini punca utamanya (dipercayai) adalah isu kewangan, masalah dadah dan tekanan perasaan. Ada kemungkinan disebabkan kemerosotan ekonomi seperti hilang sumber pendapatan akibat COVID-19," ujarnya lagi.


Beliau bagaimanapun berkata, secara keseluruhan kadar jenayah di negara ini sememangnya menunjukkan penurunan iaitu mencecah 32.2 peratus sepanjang tempoh PKP.


Huzir menjelaskan, keadaan itu disebabkan kesan pelaksanaan PKP yang menyaksikan kehadiran pasukan keselamatan dan penguat kuasa di banyak lokasi bagi menjalankan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) sekali gus menghalang jenayah.


Tambahnya, sepanjang tempoh berkenaan, sebanyak 24,623 tangkapan dibuat atas pelbagai kesalahan dan 2,264 tangkapan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).


-Astro Awani