• newsatmy

Tuah anak pengarah popular

2 Mac 2021


KUALA LUMPUR: Dua anak penerbit, Datuk Ayu Puteh yang berjinak-jinak dalam dunia nyanyian mengaku kelebihan memiliki ibu berpengaruh memudahkan laluan mencipta nama.

Fian dan Alif menganggap kehadiran ibu sebagai 'bonus' dalam mengetengahkan bakat masing-masing.


Fian, 25, yang baru menghasilkan single Ala Shayang, tidak mengetepikan hakikat ibu yang memiliki syarikat produksi drama, filem dan muzik memudahkan percaturan seni.


"Kami saling menyokong dan tidak ada masalah untuk menggunakan kelebihan yang ada. Mengapa kami tidak gunakan peluang di depan mata sebaik-baiknya.


"Namun, hendak mengatakan kami menumpang populariti ibu atau seorang lagi adik, Wanna Ali, tidaklah.


"Kami percaya kepada rezeki sendiri. Kalau ada rezeki dan lagu kami diterima, pasti kami didatangi orang lain kerana bakat dimiliki," katanya kepada BH Online.


Fian atau nama sebenar, Mohd Sufian Mohd Ali juga tidak kisah jika ada yang mahu membandingkan dirinya dengan Wanna.


"Jika diikutkan, saya bukan baharu dalam dunia hiburan. Namun, Wanna lebih menyerlah disebabkan bakatnya.


"Saya tidak kisah jika ada yang mahu mengait dan membandingkan kami. Hakikatnya, kami ada kelebihan sendiri," katanya.


Fian yang pernah menghasilkan lagu Semakin Benci Semakin Rindu beberapa tahun yang lalu, berkecimpung dalam seni hiburan iaitu sejak 2011.


Alif kikis perasaan malu demi mengejar impian menjadi penyanyi. Foto Ihsan Indigital Music

Kerjaya seninya bermula dengan lakonan dengan membintangi filem seperti Aku Ada Kau Ada dan Tokan selain telefilem Khalifahkah Aku dan D'Kayangan.


Sementara itu, Alif, 16, memberanikan diri tampil single pertamanya, My Boo.


Sedikit pemalu berbanding Fian dan Wanna, Alif menjadikan mereka contoh untuk melangkah dalam dunia muzik.


"Memang saya agak pemalu. Namun, melihat mereka sudah ke hadapan, saya buang perasaan itu," katanya yang berharap peminat menerima kehadirannya.


Ala Shayang dan My Boo adalah lagu ciptaan Sheikh Baseer yang dijadikan runut bunyi bagi drama Baby Tak Gila yang akan ditayangkan di Unifi TV pada 10 Mac depan.


Ala Shayang dan My Boo sudah dimuat naik di saluran YouTube Indigital Music dan boleh distrim melalui semua platform digital.


Kedua-dua lagu ini diterbitkan Pencil Pictures & Record milik Ayu dan diedarkan Indigital Music.


-Berita Harian

Langgani Buletin Kami

  • White Facebook Icon

© 2020 by EPS Digital Tech Sdn Bhd.