top of page
  • newsatmy

Tujuh lelaki ditahan halang dan maki anggota polis

Dewi Nur Harasha Alias

Januari 19, 2021 06:17 MYT



Soffian berkata, tujuh lelaki itu akan direman hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan.



Polis Pulau Pinang menahan tujuh lelaki bagi membantu siasatan berhubung insiden kekecohan semasa kemalangan membabitkan dua remaja di persimpangan lampu isyarat Tanjung Tokong pada Ahad.


Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata, kesemua lelaki berusia 23 hingga 45 tahun itu ditahan di sekitar Jalan Patani dan Tanjung Tokong.


Katanya, tujuh suspek berkenaan ditahan selepas dipercayai menggunakan kekerasan terhadap anggota polis semasa mereka menjalankan tugas.


Malah, mereka mendakwa anggota polis telah menendang motosikal dinaiki dua remaja itu sehingga menyebabkan kemalangan serta kecederaan dalam kejadian kira-kira 5.20 petang Ahad.


Kumpulan lelaki itu dikatakan turut membuat provokasi dan memaki hamun tiga anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) berkenaan.


Soffian berkata, tujuh lelaki itu akan direman hari ini (Selasa) bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan iaitu menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam menjalankan kewajipan yang sah di sisi undang-undang.


Selain itu, mereka juga disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Kawalan Pergerakan) 2021.


Sementara itu, Soffian berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati dua daripada suspek positif dadah dan mempunyai rekod jenayah lampau.


Selain itu, katanya, pihak polis turut menjalankan siasatan terhadap hantaran-hantaran di media sosial (Facebook dan Whatsapp) yang didapati tidak tepat dan berbaur fitnah sehingga menjejaskan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).


Siasatan dibuat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.


Dalam pada itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat Insp Mohd Fahmi Othman (Bahagian Siasatan Jenayah IPD Timur Laut Pulau Pinang) di talian 017-9272027 bagi membantu siasatan.


Dalam kejadian petang Ahad, dua remaja parah dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat di Tanjong Tokong.


Insiden itu tular di media sosial apabila warga net menuduh anggota polis sengaja menendang motosikal sehingga mengakibatkan kemalangan serta kecederaan parah kepada dua lelaki.


Bagaimanapun, polis menafikan dakwaan itu dan memaklumkan dua lelaki berkenaan telah melanggar sebuah kereta ketika melarikan diri daripada anggota polis.

bottom of page