top of page
  • newsatmy

Tun M tidak tolak kemungkinan UMNO boleh jalin kerjasama dengan DAP

5 April 2021

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menolak kemungkinan UMNO boleh menjalinkan hubungan dengan DAP kerana mempunyai pengalaman bekerjasama dengan MCA sejak sekian lama.


Jelas bekas Perdana Menteri itu, MCA yang kini bersama-sama dengan UMNO dalam Barisan Nasional juga pernah dilihat 'melampau' suatu ketika dahulu.


“Terpulang kepada UMNO, kerana parti itu sudah kerja dengan MCA dan MCA juga pada satu ketika ekstrem,” ujarnya seperti dilaporkan Malaysiakini.


Beliau berkata demikian selepas merasmikan forum ‘Ke Mana Hala Tuju Finas’ di sini, pada Ahad.


Dr Mahathir mengulas kenyataan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abd Rahman yang berkata tidak mustahil untuk parti itu bekerjasama dengan DAP pada masa depan, jika parti itu menjadi lebih 'sederhana'.


Tajuddin seperti dilaporkan Free Malaysia Today bagaimanapun menyatakan kesukaran untuk dua parti itu bekerjasama kerana imej DAP di kalangan orang Melayu.


Sementara itu, mengulas lanjut mengenai pengalaman bekerjasama dengan DAP menerusi PH, Dr Mahathir berkata parti itu perlu sedar bahawa Malaysia adalah negara yang berbilang kaum.


"Saya telah bekerjasama dengan DAP dan parti itu ada kala ekstrem tapi kita boleh bersama-sama dengan mereka.


"DAP juga perlu sedar bahawa (Malaysia) negara berbilang kaum. Anda tak boleh kerja untuk kaum sendiri sahaja," katanya lagi.


- Astro Awani


bottom of page