top of page
  • Writer's pictureNihaba

Tun Mahathir ulas isu Pulau Batu Putih

20 Oktober-PUTRA JAYA

Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, percubaan secara rundingan untuk Malaysia memiliki semula Pulau Batu Puteh bertahun-tahun tidak berjaya, malah Singapura masih mendakwa pulau itu miliknya.

Bekas Perdana Menteri berkata, dalam hal itu, kedua-dua negara bersetuju untuk merujuk isu tuntutan pulau berkenaan kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).


Bagaimanapun, kata beliau, untuk ini kedua-dua pihak perlu berjanji secara bertulis akan menerima apa sahaja keputusan yang dibuat oleh ICJ termasuk tidak ada rayuan terhadap keputusan ICJ dan ia adalah muktamad.

“Rujukan kepada ICJ hanya akan diterima oleh ICJ jika perjanjian menerima tanpa soal dan keputusannya dihormati. Negara yang bermaruah mesti hormati janji. Hanya negara yang tidak bermaruah yang akan mungkir janji.

“Muktamad adalah muktamad. Jika sebuah negara tidak hormati janji, tidak ada negara lain yang akan buat perjanjian dengan negara berkenaan. Ia menjadi negara pariah,” katanya dalam kenyataan menerusi laman web beliau hari ini.

Baru-baru ini, bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali mendakwa beliau mempunyai fakta dan asas kukuh bahawa Pulau Batu Puteh adalah milik Malaysia.


Apandi turut melahirkan kekecewaan setelah kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Dr. Mahathir didakwa menarik balik semakan dan pentafsiran penghakiman berhubung kepulauan itu pada 2018.

Terdahulu, Kabinet menubuhkan sebuah pasukan petugas khas bagi tujuan semakan semula undang-undang berkenaan isu pulau tersebut yang dipengerusikan oleh Apandi.

Menurut Dr. Mahathir, Malaysia mempunyai dasar liberal dalam pemilikan tanah yang mana sesiapa sahaja boleh milik tanah termasuk bukan warganegara.

Katanya, keadaan itu mendedahkan negara kepada kehilangan tanah yang sudah dimiliki oleh orang asing, justeru jika ia berlaku, maka negara sudah tidak lagi secara fizikal, tanah milik warganegara.


Beliau menjelaskan, inilah yang berlaku di Singapura walaupun asalnya milik negeri Melayu, hari ini ia sudah menjadi negara asing.

“Hari ini walaupun negara ini dikenali sebagai Tanah Melayu, tetapi orang Melayu sendiri sudah kehilangan tanah mereka. Nasib baik yang memiliki tanah bernilai tinggi dan besar dimiliki warga Malaysia,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr. Mahathir berkata, satu lagi cara untuk hilang negara ialah dengan menjual tanah yang digali dalam negara atau laut milik negara kepada negara lain, secara langsung ia menjual sebahagian dari negara kepada negara lain.

Kataya, jika tanah yang dijual adalah untuk menambak dan membesar negara lain, ia tidak berbeza dengan menjual bahagian-bahagian tertentu negara kepada negara lain.

“Hari ini kita jual air dan tanah berlori-lori dan berkapal-kapal ke negara lain guna untuk membesar negara mereka. Atau kita jual laut untuk ditambak dan dimiliki serta diduduki oleh orang lain, keadaannya tidak berbeza dari menjual bahagian-bahagian negara kepada negara asing.

“Kita jual Singapura. Lazimnya apabila penjajah tidak lagi berminat, tanah yang dijual dikembalikan kepada negara asal. Itulah yang terjadi kepada Hong Kong, Goa, Pondicherry.

“Tetapi tidak Singapura. Tanah dan air yang kita jual ke Singapura untuk membesar pulau itu menjadi kawasan milik penduduk Singapura, dibangun di bawah kuasa Kerajaan Singapura,” katanya.


Beliau berkata, itulah sebabnya Kerajaan Malaysia melarang penjualan tanah dan mempertikai jualan air kepada negara asing.

Malangnya, kata beliau, beberapa pentadbiran Kerajaan Malaysia rela untuk dibayar 3 sen untuk 1000 gelen air mentah kepada negara asing kerana malas atau takut menuntut hak.

bottom of page