top of page
  • newsatmy

Ulang tahun ke-75, UMNO optimis diterima rakyat

12 Mei 2021

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin UMNO kembali bangkit semula untuk mentadbir negara walaupun kini menerima tekanan dari dalam dan luar.


Presiden UMNO itu berkata, keyakinan itu berdasarkan kepada rekod mentadbir negara sebelum ini, usaha berterusan untuk meremajakan parti itu, melahirkan pemimpin pelapis berkaliber dan petunjuk semasa yang parti itu masih menerima sokongan masyarakat.


"Masa akan kembali menyebelahi kepada UMNO. Masyarakat ingin kembali menyokong UMNO. Sebagai parti tertua yang mentadbir negara selama 63 tahun, rekod kecemerlangan UMNO mengemudi negara tidak dapat dinafikan lagi, sehingga rakyat percaya kestabilan hanya dapat dinikmati dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN).


"UMNO adalah parti paling dipercayai. Manifesto tidak pernah dimungkiri, semua janji ditepati, rakyat didahulukan, kebajikan diutamakan, ekonomi dibangunkan.


"Itulah perjuangan UMNO yang menjadikan ia mandiri selama 75 tahun. UMNO dan rakyat berpisah tiada," kata Ahmad Zahid dalam ucapan di akaun Facebooknya sempena sambutan Hari UMNO Ke-75 hari ini.


UMNO gagal memerintah buat pertama kali dalam sejarah negara apabila Barisan Nasional (BN) tidak memperoleh majoriti mencukupi untuk membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei 2018.


Ketika ini, walaupun UMNO berada dalam kerajaan, parti itu menetapkan sokongan diberikan kepada Perikatan Nasional (PN) adalah sehingga PRU-15.


Ahmad Zahid turut berkata, UMNO juga sentiasa mempunyai pemimpin yang berkaliber, berwawasan dan berbakat besar dalam memimpin negara.


"UMNO sentiasa memperkasakan pemimpin pelapis untuk menyambung wadah kepemimpinan. Mereka benar-benar teruji, bermoral dan berkemampuan untuk memimpin negara suatu hari nanti," katanya.


Ahmad Zahid turut mengucapkan Selamat Hari UMNO Ke-75 kepada semua ahli parti itu di peringkat akar umbi, cawangan dan bahagian yang disifatkan beliau setia kepada perjuangan parti.


"Tidak dilupakan pendiri bangsa, tokoh UMNO yang sudah pergi meninggalkan kita, terlalu besar jasa dan pengorbanan mereka sehingga UMNO masih bertahan pada hari ini walaupun diuji," katanya.


-Berita Harian

bottom of page