top of page
  • newsatmy

UMNO akan mulakan rundingan kerusi PRU15 dengan Bersatu - Annuar Musa

Muhafandi Muhamad

Astro Awani



Mengenai sama ada beliau akan bertanding pada pemilihan parti, Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, belum membuat keputusan mengenainya.


KETEREH: Barisan Nasional (BN) diketuai UMNO dikatakan akan memulakan rundingan pengagihan kerusi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), kata Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.


Bekas Setiausaha BN itu mendakwa, kepimpinan tertinggi UMNO sudah memberi keizinan untuk meneruskan hasrat berkenaan yang dihentikan sebelum ini.


"Saya difahamkan minggu lalu di peringkat pengurusan UMNO ada memberikan lampu hijau supaya rundingan dengan Bersatu diteruskan.


"Itu cukup baik... sebab setakat saya tahu, rundingan belum dibuat lagi. Ini satu perkembangan yang baik," dakwanya di sini, hari ini.


Beliau mendakwa, kedua-dua pihak sudah mempunyai senarai cadangan kerusi kawasan masing-masing untuk ditandingi.


Dakwanya, perbezaan pendapat sememangnya wujud namun ia tidak terlalu rumit untuk diselesaikan kerana beliau difahamkan Bersatu menerima hakikat UMNO mahukan lebih kerusi.


Beliau juga mendakwa, Bersatu turut memahami UMNO mempunyai banyak kubu kuat yang berpotensi untuk dimenangi dalam PRU15.


Katanya, beliau juga difahamkan, UMNO akan bertanding menggunakan logo BN manakala bersatu menggunakan logo Perikatan Nasional (PN).


Mengulas lanjut, beliau berharap kerjasama antara BN, Pas dan Bersatu diteruskan.

"Antara UMNO dan Pas sudah terbentuk satu persefahaman yang agak jitu. UMNO dengan Bersatu pula, (parti) masih meninjau pendapat pimpinan akar umbi.


"Saya yakin UMNO dapat menguruskan perbezaan pendapat itu... yang penting UMNO perlu dapat formula untuk memenangi PRU... Saya yakin UMNO akan selesaikan masalah ini," katanya.


Mengenai sama ada beliau akan bertanding pada pemilihan parti, Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, belum membuat keputusan mengenainya.


Sebelum ini timbul spekulasi Annuar berhasrat menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO pada pemilihan parti selepas tersebar gambar beliau dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.


Annuar sebelum ini digugurkan daripada jawatan Setiausaha Agung BN dan ia dikatakan berpunca daripada kecenderungannya yang dilihat tidak sehaluan dengan presiden parti, malah digambarkan sebagai jurucakap kepada Bersatu.

bottom of page