• Arissa

UMNO dilihat tamak kuasa jika keluar kerajaan PN - Penganalisis politik

30 Jun 2021

KUALA LUMPUR: UMNO akan dilihat rakyat sebagai parti yang tamak kuasa dan tidak boleh bergantung harap jika bertindak keluar daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).


Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Jeniri Amir berkata, tindakan sedemikian juga boleh mengundang kecaman dan dipandang negatif rakyat yang melihat sepatutnya sekarang parti itu membantu menyelamatkan negara berdepan COVID-19.


"Jangan salahkan rakyat kalau mereka terus melihat pemimpin politik kita sebagai orang tidak boleh bergantung harap. UMNO sepatutnya membantu menyelamatkan negara tetapi mereka dilihat cuba meruntuhkan negara.


"Jadi, jangan burukkan lagi keadaan. Ini masa untuk mereka memperagakan personaliti dan watak yang unggul, harus menjauhi kepentingan peribadi dan politik," katanya dalam kenyataan pada Selasa.


Pada Isnin, Ahli Parlimen PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, pembentukan jajaran baharu UMNO bersama Pakatan Harapan (PH) sama ada boleh berlaku dalam tempoh terdekat atau sebaliknya, bergantung kepada keputusan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.


Beliau berkata, Ahmad Zahid boleh membuat keputusan menggunakan Majlis Tertinggi (MT) untuk meminta ahli-ahli Parlimen UMNO keluar daripada kerajaan sekiranya tuntutan beliau kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar sidang Parlimen dipanggil dalam tempoh 14 hari tidak dipenuhi.


Dalam pada itu, Jeniri berkata, sekarang bukanlah masa untuk mana-mana parti politik mengganggu keadaan politik negara lebih-lebih lagi mereka yang mempunyai agenda dan kepentingan peribadi.


"Permainan politik ketika ini digerakkan oleh mereka yang mempunyai kepentingan peribadi untuk menyelamatkan dirinya bukan untuk menyelamatkan kepentingan negara.


"Jadi sepatutnya kita selamatkan kepentingan negara, ketepikan kepentingan peribadi dan puak bagi meletakkan kita berada atas landasan betul dan memepercepatkan langkah vaksinasi.


"Pastikan angka COVID-19 diturunkan dan dapat beri fokus inisiatif baharu kerajaan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) membabitkan wang begitu banyak," katanya.


UMNO baru-baru ini memberikan tempoh 14 hari kepada kerajaan untuk memutuskan tarikh Parlimen bersidang, membayangkan tindakan keluar kerajaan jika ia tidak berlaku.


Ia dikukuhkan oleh ura-ura Umno akan bersama PKR-DAP untuk menubuhkan kerajaan baru bernama Jajaran Harapan dan mengangkat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.


MT UMNO dijangka mengadakan mesyuarat pada 7 Julai ini susulan keputusan kerajaan untuk mengadakan sidang Parlimen seawal bulan September akan datang.




--Awani