top of page
  • zaman

Umno jayakan agenda DAP?

12 Jan

“APAKAH Umno akan jayakan agenda DAP?” demikian soal Haji Razman Zakaria yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Perak. Beliau mengulas kenyataan Dato’ Mohammad Hassan atau Tok Mat dalam perasmian serentak Persidangan Umno.

“Umum mengetahui agenda perjuangan DAP dan mereka melaksanakan semaksima mungkin dalam tempoh 22 bulan berkuasa.

“Namun agenda itu tersekat apabila perubahan kerajaan yang berlaku kerana parti BERSATU dan beberapa pimpinan PKR tidak lagi sanggup bersekongkol menjayakan agenda DAP yang jelas merugikan Melayu dan membahayakan integrasi kaum di Malaysia.

“Di Perak, Datuk Seri Mohd Faizal Azumu yang menjadi Menteri Besar berterusan ditekan terutamanya menuntut hak milik tanah 999 tahun.

“Jika bersama BERSATU yang telah ada hubungan sebelum PRU pun mereka tak peduli, apakah Umno yang dilihat cuba berpaut dengan mereka akan diikuti?

“DAP sedar bahawa Umno diheret oleh Zahid dan beberapa pimpinan kluster mahkamah untuk menyelamatkan diri sendiri dan bukan perjuangan parti.

“Apatah lagi DAP sedar Zahid tiada pilihan selain berpaut dengan PH setelah PN dari awal menolak penyelesaian kes beliau sepertimana didedahkan TS Muhyidin Yasin,” ujarnya yang juga ADUN Gunung Semanggol.


Haji Razman turut menjelaskan pandangan beliau tentang perjuangan Melayu Umno ketika diminta mengulas perkembangan.

“Melayu apa yang diperjuangkan Umno jika sanggup menolak gabungan bersama parti Melayu dan memilih bersama DAP dan PKR? Sebelum PRU15 Umno berjuang menolak DAP dan Anwar.

“Dalam PAU dinobatkan slogan ‘No DAP No Anwar‘. Dalam persidangan kali ini boleh pula berubah serta merta. Umno sudah tiada perjuangan. Umno yang dulunya mengingatkan bahaya anak kecil bermain api tetapi sekarang pemimpin mereka mengajak terjun ke dalam api,” bidasnya.


Beliau juga yakin perjuangan Umno kini hanya untuk menyelamatkan kluster mahkamah yang sedang nazak. Jika Umno ingin terus relevan dengan Melayu, pemimpin mereka mesti ditukar. Umno masih ada pejuang Melayu dan Umno boleh bangkit bersama parti Melayu.


Ditanya mengenai persaingan kerusi yang mungkin menjejaskan Umno jika bersama PN seperti didakwa Mat Hasan, Razman menjelaskan seperti berikut:

“Keutamaan kita ialah memperkasakan kuasa Melayu Islam. Kita boleh membetulkan kesilapan lampau Umno dalam persempadanan semula kerusi yang meninggalkan negeri Melayu dan menambah kerusi bukan-Melayu sebelum ini. Kita ibarat adik beradik dan diikat akidah yang sama. Keutamaan kita adalah perjuangan agama dan bangsa dan bukan peribadi kita.

“Pak Teh berpegang dengan nasihat Ibn Abbas yang merupakan antara pemimpin bumi Sepanyol ketika berbincang menjemput Sultan Yusuf dari Kerajaan Murobithun menghadapi Raja Alfonso. Katanya, “Saya lebih rela menjadi gembala unta kepada Sultan Yusuf daripada menjadi gembala babi kepada Raja Alfonso,” ujar Haji Razman mengakhiri temubual ringkas kami.




FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN Setiausaha Politik Pesuruhjaya PAS Negeri Perak

bottom of page