top of page
  • Writer's pictureMatha Ahmad

UMNO menang PRN Melaka, Rauf bakal Ketua Menteri?


Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sudah ditetapkan pada 20 November ini dengan seramai 495,196 orang layak mengundi berdasarkan senarai pengundi yang dikemas kini pada 3 Oktober lalu.


Pelbagai teka-teki dan pertanyaan orang ramai juga telah terjawab terutama soal kerjasama dua parti utama iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di bawah Perikatan Nasional (PN) dan UMNO yang terus bernaung dengan Barisan Nasional (BN).


Berkemungkinan bukan sekadar saingan tiga penjuru PN,BN dan PH, malah boleh jadi sampai ke empat, lima penjuru akan berlaku dalam PRN nanti termasuk kemungkinan calon-calon bebas yang akan menawarkan diri untuk menjadi wakil rakyat di bumi negeri bersejarah ini.


Maka, sudah tentu kini tumpuan kepada siapa calon di 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mahu dipertaruhkan PN, BN dan PH serta parti-parti lain yang mengesahkan untuk bertanding.


Kini,rakyat negeri Melaka tertanya-tanya siapa pula yang akan jadi Ketua Menteri Melaka selepas ini.


Kata mereka mampukah penyandang sekarang, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali yang menang dengan majoriti 627 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di DUN Lendu akan sekali lagi mengangkat sumpah jawatan itu atau ‘terpaksa’ beri laluan.


Beri laluan di sini ada tiga tafsiran iaitu pertamanya beliau tidak dapat pertahankan kerusi dimenanginya dahulu atau faktor kedua kerana parti diwakilinya tidak mendapat majoriti untuk membentuk kerajaan negeri seperti terjadi dalam PRU-14.


Tetapi andai kata kedua-dua tafsiran tersebut berjaya dilepasi tanpa masalah, terdapat satu lagi tafsiran yang menarik perhatian ramai sebenarnya ketika ini iaitu perlukah beliau beri laluan kepada pemimpin yang lebih tinggi hierarkinya dalam parti jika mereka bertanding dan menang.


Sulaiman ketika mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri ke-12 hanya berjawatan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Melaka.Ini disebabkan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi bukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ketika UMNO merampas kembali tampuk pemerintahan daripada PH tahun lepas. Ketika ini, jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka ialah Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh manakala Timbalan Pengerusi ialah Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.


Lazimnya, jawatan Ketua Menteri atau Menteri Besar akan disandang oleh Pengerusi Perhubungan Negeri yang dipraktikan parti itu sebelum ini, Jika amalan ini diguna pakai, jika UMNO memenangi PRN Melaka,hampir pasti Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh akan diangkat sebagai Ketua Menteri Melaka yang baharu.


Melainkan UMNO Melaka tiada masalah untuk meneruskan anjakan paradigma itu selepas ini.


Tetapi bolehkah perkara itu diteruskan sekiranya UMNO memperoleh majoriti untuk mentadbir Melaka selepas 20 November ini atau pun mengapa tidak Sulaiman diangkat menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka yang baru memandangkan beliau pun sudah berpengalaman memimpin sebuah kerajaan negeri.


Tidak ada salahnya pemimpin berkorban demi rakyat seperti dilaung-laungkan sebelum takut-takut mereka pula yang terkorban di tangan pengundi nanti kalau tersilap langkah kerana ‘dipangkah’ untuk kalah.

bottom of page